Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

KidSTART terima derma $1.1j dari SP Group

Ia bagi penuhi keperluan pembelajaran anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah
Jun 22, 2022 | 05:30 AM



SERAMAI 3,000 kanak-kanak dan keluarga yang menyertai inisiatif KidSTART bakal menerima manfaat daripada program menggalak pembesaran anak serta bimbingan kekeluargaan baru yang memberi tumpuan kepada memperkukuhkan interaksi antara ibu bapa dengan anak serta memupuk tabiat membaca pada usia awal.



Ini selepas inisiatif di bawah kendalian Agensi Pembangunan Awal Kanak-Kanak (ECDA) itu menerima derma lagi $1.1 juta oleh syarikat SP Group bagi memenuhi keperluan pembesaran dan pembelajaran anak-anak daripada keluarga berpendapatan rendah.



KidSTART merupakan sebuah inisiatif bertujuan memperkasa keluarga berpendapatan rendah dengan anak berusia sehingga enam tahun untuk membina asas kekeluargaan teguh bagi pembesaran anak.



Dalam satu kenyataan bersama, KidSTART dengan SP Group berkata program baru seperti kegiatan interaktif KidSTART Sea Adventures, dan KidSTART Stories bermatlamat memupuk pengalaman dan interaksi positif supaya ibu bapa dapat menawarkan pembesaran holistik bagi anak-anak mereka.



Ia juga bertujuan memupuk tabiat kerap membaca dan kefasihan bertutur dan membaca pada peringkat awal bagi anak-anak tersebut.



Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan SP Group, Encik Stanley Huang, telah menyerahkan cek berjumlah $1.1 juta itu kepada Naib Pengerusi, Yayasan Community Chest, Encik Chew Sutat, dalam acara fizikal pertama KidSTART sejak ia ditubuhkan pada 2016.



Acara itu, yang dihadiri 30 keluarga KidSTART, mengajak ibu bapa dan anak-anak mereka melakukan kegiatan kraf tangan serta menonton pementasan interaktif yang dipersembahkan oleh syarikat teater dan drama, How Drama.



Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga) Cik Sun Xueling, serta CEO KidSTART Singapura, Cik Rahayu Buang, turut hadir di acara itu.



Dalam ucapan membuka tirai acara tersebut, Cik Sun berkata usaha yang membabitkan seluruh masyarakat diperlukan untuk membina keluarga teguh di Singapura.



"Sebagai seorang ibu sendiri, saya turut mempunyai matlamat yang sama seperti anda untuk memberi permulaan yang terbaik bagi anak-anak kami.



"Sebab itu saya mengalu-alukan semua ibu bapa yang menyertai KidSTART dan telah membuka rumah serta hati anda kepada kami untuk memberi peluang anak-anak anda membina masa depan lebih cerah."



Cik Sun berkata derma daripada SP Group itu memperluas lagi sokongan terdahulunya yang telah menderma sebanyak $1 juta tahun lalu dan telah memanfaatkan lebih 2,000 kanak-kanak.



Bantuan terikini itu tidak termasuk bantuan sedia ada oleh SP Group, seperti sumber pembelajaran dan alat teknologi maklumat bagi keluarga penerima KidSTART.



Cik Rahayu, ketika ditemui semalam, memberitahu Berita Harian (BH), KidSTART, yang kini beroperasi di sebanyak 13 kawasan kendalian Pertubuhan Khidmat Sosial (SSO), berada dalam kedudukan baik untuk mencapai sasaran menyokong seramai 5,000 kanak-kanak menjelang 2023.



Beliau berkata sehingga kini, KidSTART telah mendekati sekitar 4,000 kanak-kanak dan program interaktif KidSTART Sea Adventures, dan KidSTART Stories bakal diperluas ke kejiranan tempatan serata Singapura selaras dengan perkembangan KidSTART beroperasi di daerah SSO lain.



Konsultan Pembangunan Awal Kanak-kanak KidSTART, Cik Puspavali Namasivayam, yang telah menulis cerita di balik pementasan KidSTART Sea Adventures itu, pula berkata rancangan tersebut menggalak interaksi antara ibu bapa dengan anak hingga ke rumah.



"Ia boleh dilihat bagaimana anak-anak dengan serta merta melihat watak-watak dalam pementasan ini dan memberi respons, 'oh itu ikan yu dan sebagainya.'



"Jadi si anak kemudian akan bertanya kepada ibu bapa mereka tentang pementasan ini lagi yang menggalak ibu bapa menceritakan semula pengalaman ini kepada anak mereka, sekali gus memudahkan interaksi yang bermanfaat antara ibu bapa dengan anak-anak di rumah yang penting bagi pembesaran mereka," jelas Cik Puspavali lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >