Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kohort varsiti setempat tahun lalu naik kepada 42%: Lawrence

Jan 19, 2021 | 05:30 AM



SEDANG pandemik terus menular, kesemua enam universiti berautonomi Singapura menawarkan sekitar 1,000 tempat tambahan tahun lalu, sekali gus menerima 17,500 rakyat Singapura.



Ini membawa peningkatan jumlah penyertaaan kohort kepada 42 peratus berbanding 40 peratus yang telah dirancang sebelum ini.



Sebahagian daripada tempat tambahan itu telah diisi oleh rakyat Singapura yang sebelum ini telah merancang untuk belajar di luar negara manakala yang lain dipenuhi oleh lulusan diploma dari politeknik yang memilih untuk melanjutkan pelajaran daripada menyertai pasaran pekerjaan yang lemah sekarang.



Menteri Pendidikan Lawrence Wong yang mendedahkan perangkaan itu dalam satu wawancara dengan akhbar The Straits Times baru-baru ini berkata sekiranya keadaan berterusan, pihak kementeriannya bersedia menyediakan lebih banyak tempat tahun ini.



Memandang ke hadapan, Encik Wong bagaimanapun berkata pemerintah kini giat menggalakkan rakyat Singapura untuk terus belajar dan mempertingkat kemahiran sepanjang kehidupan, lantaran itu, merancang bagi tempat di universiti berdasarkan kadar penyertaan kohort sebanyak 40 peratus, seperti sekarang, kian menjadi kurang relevan.



"Kita sering membincangkan tentang SkillsFuture dan pembelajaran sepanjang hayat. Justeru tiada perlu untuk seseorang memenuhi empat tahun pendidikan sebelum mereka keluar bekerja.



"Anda berpeluang mendapat ijazah universiti atau melanjutkan pendidikan pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh kehidupan pekerjaan anda.



"Saya masih menjangkakan sebilangan pelajar yang akan melakukan demikian, iaitu melanjutkan pengajian ke universiti untuk mendapatkan ijazah pertama sebelum keluar bekerja tetapi kian banyak laluan bagi pelajar untuk melanjutkan pelajaran apabila mereka meningkat dewasa, sepanjang tempoh pekerjaan mereka."



Beliau turut menekankan pelajar yang ingin mendapatkan segulung ijazah tidak perlu mengambil laluan tradisional empat tahun tetapi menimbangkan laluan lain termasuk berganti-ganti antara pekerjaan dan belajar.



"Justeru sekiranya ada seorang pelajar yang ingin menundakan masa setahun untuk melakukan sesuatu, apa jua sekalipun dan pihak universiti bersetuju ia sesuatu yang bermakna, maka ia dibenarkan.



"Tetapi kita juga perlu menghadkan tempoh pengajian yang diambil seseorang pelajar untuk menamatkan pengajiannya. Ia tidak boleh berterusan tanpa tiada had masa. Tetapi ada ruang untuk menyemak semula aspek ini, bagi membolehkan lebih banyak fleksibiliti," ujarnya.



Apabila ditanya sama ada pelajar boleh memanfaatkan subsidi pemerintah untuk meraih ijazah kedua, Encik Wong menarik perhatian mengenai keperluan mengambil ijazah kedua itu.



"Di bawah inisiatif SkillsFuture, kita sudahpun menawarkan jumlah pendanaan yang ketara bagi pelbagai jenis kursus yang ditawarkan pihak universiti, politeknik dan Institut Pendidikan Teknikal serta pembekal latihan industri.



"Sekiranya seseorang individu, seorang pemegang ijazah, mahu mempelajari kemahiran baru atau mempertingkat kemahiran dan pengetahuannya, adakah perlu untuk seseorang mengambil satu lagi ijazah yang memakan masa selama empat tahun?



"Mereka masih boleh kembali ke universiti untuk mengambil modul yang boleh digabungkan menjadi kelayakan mikro (micro credentials) yang lebih tertumpu dan relevan," katanya.




"Anda berpeluang mendapat ijazah universiti atau melanjutkan pendidikan pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh kehidupan pekerjaan anda. Saya masih menjangkakan sebilangan pelajar yang akan melakukan demikian, iaitu melanjutkan pengajian ke universiti untuk mendapatkan ijazah pertama sebelum keluar bekerja tetapi kian banyak laluan bagi pelajar untuk melanjutkan pelajaran apabila mereka meningkat dewasa, sepanjang tempoh pekerjaan mereka."

- Menteri Pendidikan, Encik Lawrence Wong.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >