SEBUAH kolam air dengan saiz sebesar tiga gelanggang badminton bertarikh sejauh tahun 1905 telah ditemui oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).
Terletak dekat Telok Blangah Road tetapi tidak terdapat dalam peta hari ini, ia berfungsi sebagai sumber air bagi Pelabuhan Tanjong Pagar.
Berdasarkan peta-peta Jepun di Singapura, kolam tersebut juga pernah digunakan sebagai kolam renang semasa Pendudukan Jepun.
Peninggalan sebuah papan terjun dan kawasan mandi masih kekal ada sehingga hari ini.
Kawasan yang dikenali sebagai Keppel Hill Reservoir itu juga pernah menjadi tajuk berita apabila dua askar dan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun lemas, masing-masing pada 1936 dan 1948.
Kolam air sedalam dua meter itu, yang mempunyai sistem penapisan yang berfungsi hari ini, ditemui oleh sepasukan penyelidik dari NHB Februari lalu.
Pasukan tersebut mengambil masa empat bulan untuk mengumpul butir-butir mengenai penemuan tersebut daripada peta-peta dan laporan-laporan lama.
Sebuah dokumentari mengenai kolam itu akan dimuatnaik ke laman NHB esok.