Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Komunikasi positif kunci lawan ideologi radikal belia

Mar 23, 2021 | 05:30 AM



GOLONGAN ibu bapa mampu memainkan peranan mencegah keradikalan daripada berakar dalam jiwa anak belia.



Caranya adalah memupuk komunikasi positif dan memerhatikan sebarang perubahan terhadap kelakuan belia di rumah.



Teknik tersebut dan pelbagai ilmu lain diketengahkan dalam bengkel melalui wadah Zoom bertajuk Usaha Membesarkan Belia Harmoni.



Kelompok Masjid Kawasan Utara (NMC) menganjurkan bengkel sulung tentang fahaman radikal itu dengan harapan mahu meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa dan belia terhadap tanda keradikalan dan teknik pencegahannya.



Bengkel diadakan dari 11 pagi hingga 12.30 tengah hari kelmarin sambil disaksikan tetamu terhormat Pengurus Besar NMC Yacob Ahmad.



Usaha itu dihadiri 130 peserta merangkumi ibu bapa dan belia.



Dua felo penyelidikan bersekutu Pusat Antarabangsa Bagi Penyelidikan Keganasan Politik dan Terorisme (ICPVTR) Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) Universiti Teknologi Nanyang (NTU), iaitu Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan dan Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah Sudiman, mengendalikan bengkel itu.



Menurut kenyataan Masjid Yusof Ishak, bengkel diadakan sempena memperingati ulang tahun kedua kes penembakan jemaah dua masjid di Christchurch, New Zealand, dua tahun lalu.



Sebelum ini, Masjid Yusof Ishak di Woodlands dan Masjid Assyafaah di Sembawang merupakan sasaran belia India beragama Kristian Protestan dan berusia 16 tahun. Dia dipercayai menjadi radikal sendiri.



Dalam kejadian di New Zealand pula, 51 orang terbunuh di dua masjid pada 15 Mac 2019.



Penyerang Brenton Tarrant, 29 tahun, turut menyasarkan masjid ketiga tetapi gagal.



Serangan itu disalurkan secara langsung ke wadah dalam talian.



Tarrant, seorang warga Australia, mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 cubaan membunuh dan satu tuduhan melaksanakan pengganasan.



Baru-baru ini, Singapura turut menyaksikan penangkapan beberapa individu radikal di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).



INTI PATI BENGKEL



Berdasarkan contoh sedemikian, Ustaz Ahmad Saiful Rijal berkata bahawa proses radikalisasi boleh berlaku pada sesiapa saja tidak kira latar belakang mahupun usia.



"Kes baru-baru ini (di Singapura) menunjukkan bahawa masalah radikalisasi dalam kalangan remaja semakin meningkat atas pelbagai sebab," ujarnya.



Beliau menyenaraikan sebab-sebab itu:



- Remaja lebih cenderung menerima maklumat daripada Internet tanpa mengesahkannya.



- Kehidupan di alam maya sebenarnya realiti buat seseorang remaja.



- Masalah global berkaitan pengganasan menjadi masalah setempat atau proses glocalisation.



"Justeru saya berharap ibu bapa boleh mengamalkan teknik pengasuhan positif supaya anak dapat berkomunikasi dengan baik.



"Andai remaja tersebut susah hendak meluahkan isi hati kepada ibu bapa, pihak sekolah dan masjid setempat sedia mendengar.



"Pada peringkat masyarakat pula, mereka harus menyokong usaha pertubuhan Melayu dan agama dalam usaha menyediakan ruang yang selamat bagi remaja membincangkan isu sensitif," ujarnya.



Ustaz Muhammad Saiful Alam Shah menambah bahawa salah satu tanda besar seorang individu dipengaruhi fahaman pelampau ialah penggunaan lambang yang lazimnya dikaitkan dengan fahaman itu.



"Kalau tidak menggunakan lambang, perhatikan kalau mereka sering memencilkan diri dan meluangkan banyak masa di Internet. Mereka akan mula menyisihkan diri daripada keluarga sebelum menyisihkan diri pula daripada masyarakat. Itulah tanda besar dipengaruhi fahaman radikal," ujarnya.



Rancangan susulan bengkel ialah lawatan ke Pusat Pameran Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG). Seramai 80 belia dijangka melawat pameran itu pada 3 dan 4 April ini.




"Justeru saya berharap ibu bapa boleh mengamalkan teknik pengasuhan positif supaya anak dapat berkomunikasi dengan baik. Andai remaja tersebut susah hendak meluahkan isi hati kepada ibu bapa, pihak sekolah dan masjid setempat sedia mendengar. Pada peringkat masyarakat pula, mereka harus menyokong usaha pertubuhan Melayu dan agama dalam usaha menyediakan ruang yang selamat bagi remaja membincangkan isu sensitif."
- Ustaz Ahmad Saiful Rijal Hassan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >