Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kongsi idea, kepakaran, tingkat mutu terjemahan bahan komunikasi

Wadah dalam talian akan disedia galak masyarakat sertai kumpulan penterjemah masyarakat
Jan 16, 2021 | 05:30 AM



ANGGOTA masyarakat berpeluang berkongsi saranan dan juga menyumbang kepakaran mereka dalam bahasa Cina, Melayu dan Tamil demi mempertingkat mutu penterjemahan bahan-bahan komunikasi yang digunakan agensi pemerintah.



Saranan tersebut boleh diberikan melalui dialog dalam talian yang akan bermula minggu depan, di mana mereka juga boleh berdaftar untuk menyertai kumpulan penterjemah masyarakat atau 'citizen translator'.



Kumpulan sukarelawan tersebut dimulakan tahun lalu untuk membantu usaha penterjemahan pemerintah yang kini bakal diperluaskan.



Ia juga boleh digunakan sebagai wadah untuk mengenal pasti mereka yang ingin menyertai bidang penterjemahan secara sepenuh masa.



Berkata demikian dalam satu sesi perbincangan dengan pihak media semalam, Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan), Cik Sim Ann, berkata ini merupakan salah satu strategi pemerintah dalam memastikan mutu penterjemahan terjaga.



"(Salah satu strategi) yang sedang kami usahakan adalah untuk memanfaatkan kepakaran anggota masyarakat awam. Ini tidak kira sama ada mereka karyawan dalam industri berkaitan bahasa atau tidak, tapi mereka harus mempunyai minat yang mendalam dalam memastikan terjemahan yang baik.



"Kami sudah pun memulakan sistem tahun lalu di mana kami bekerjasama dengan sekumpulan penterjemah masyarakat dan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman mereka. Contohnya dalam membantu mengenal pasti kesilapan dalam penterjemahan, dan kini kami bersedia untuk mengalu-alukan penyertaan lebih ramai orang," katanya.



Menurut Cik Sim, buat masa kini terdapat 88 penterjemah masyarakat yang menawarkan khidmat mereka secara sukarela.



Ini merangkumi 53 penterjemah bahasa Cina, 22 penterjemah bahasa Melayu, dan 13 penterjemah bahasa Tamil.



Sesi-sesi dialog dalam talian yang akan diadakan bertujuan menjelaskan lebih lanjut tentang projek tersebut.



Ini termasuk usaha yang sedang dijalankan Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) untuk mempertingkat mutu penterjemahan selain mendengar sebarang saranan daripada anggota awam berkaitan usaha tersebut.



Perbincangan melalui Zoom berkaitan penterjemahan bahasa Cina akan diadakan pada 22 Januari mulai 730 malam.



Sementara itu, sesi perbincangan berkaitan penterjemahan bahasa Melayu dan Tamil diadakan pada 26 Januari mulai 7 malam.



Sesi ini akan disertai Setiausaha Parlimen (Kesihatan) Rahayu Mahzam, dan Anggota Parlimen GRC Sembawang Vikram Nair.



Cik Sim akan menyertai kededua sesi tersebut.



Mereka yang berminat boleh mendaftarkan di go.gov.sg/ctsession.



"Harapan saya adalah untuk mengenal pasti mereka yang mungkin ingin menyumbang secara sukarela untuk menyemak penterjemahan, atau juga mereka yang berminat untuk menyertai bidang penterjemahan secara profesional.



"Saya rasa sesi perbincangan ini akan membantu kami memperluaskan lagi keupayaan kolektif pemerintah untuk mendapatkan penterjemahan," katanya.



Selain langkah melibatkan anggota masyarakat awam untuk mempertingkat mutu penterjemahan, pemerintah juga akan memperluaskan penggunaan enjin penterjemahan SG Translate bagi semua agensi.



Enjin yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan itu boleh 'dilatih' untuk menterjemah perkataan atau frasa-frasa tertentu yang digunakan dengan lebih baik.



Menurut Cik Sim, penterjemah masyarakat juga akan berpeluang membantu membina data SG Translate.



Tambahnya, walaupun kerja-kerja penterjemahan ini akan dilakukan secara sukarela, pemerintah boleh membantu mereka berhubung dengan syarikat penterjemah jika diinginkan atau mengambil mereka sebagai penterjemah rasmi pemerintah jika sesuai.




"(Salah satu strategi) yang sedang kami usahakan adalah untuk memanfaatkan kepakaran anggota masyarakat awam. Ini tidak kira sama ada mereka karyawan dalam bidang berkaitan bahasa atau tidak, tapi mereka harus mempunyai minat yang mendalam dalam memastikan terjemahan yang baik. Kami sudah pun memulakan sistem tahun lalu di mana kami bekerjasama dengan sekumpulan penterjemah masyarakat dan memanfaatkan pengetahuan dan pengalaman mereka. Contohnya dalam membantu mengenal pasti kesilapan dalam penterjemahan, dan kini kami bersedia untuk mengalu-alukan penyertaan lebih ramai orang."
​- Menteri Negara Kanan (Perhubungan dan Penerangan), Cik Sim Ann




Laporan lanjut Pengunaan enjin penterjemah pemerintah diperluas akhir tahun




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >