Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:20
Asar
4:35
Maghrib
7:21
Isyak
8:31
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

rencana

Konsert Coldplay, Taylor Swift mampu dorong sektor Mice kembali rancak

Jul 24, 2023 | 05:31 AM



Industri mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (Mice) di sini mampu kembali rancak dengan nama-nama besar artis antarabangsa seperti Taylor Swift dan Coldplay memilih Singapura sebagai salah satu lokasi konsert mereka di Asia.

Dengan jumlah peminat yang besar bersedia untuk membuat perjalanan ke sini bagi menyaksikan kedua-dua konsert itu, prospek ekonomi Singapura kelihatan kembali cerah.

Selepas penjualan tiket yang memecah rekod, ribuan peminat Taylor Swift dan Coldplay, terutamanya dari rantau ini, dijangka membanjiri Stadium Negara tahun depan.

Kedua-dua pemuzik ternama itu dijadualkan membuat persembahan selama enam malam, yang tidak pernah berlaku sebelum ini, dengan Coldplay bakal membuat persembahan pada Januari, manakala Taylor Swift pada Mac.

Singapura akan menjadi persinggahan utama di rantau Asia Tenggara ini bagi konsert ‘Music of the Spheres World Tour’ Coldplay serta ‘The Eras Tour’ Taylor Swift.

Beberapa pemain industri yang dihubungi Berita Harian (BH) berkata mereka menjangkakan hasil yang dijana meningkat kerana acara itu menghidupkan semula sektor Mice di sini.


Pada masa yang sama, sektor perhotelan dan pelancongan juga akan menerima tempias daripada acara ‘mega’ itu, menurut mereka.

Pengarah eksekutif bagi pameran dan persidangan Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Encik Poh Chi Chuan, percaya bahawa konsert besar serta acara yang diadakan secara langsung itu akan memberi rangsangan ketara kepada industri Mice di sini.

“Konsert Coldplay dan Taylor Swift akan menjana manfaat ekonomi yang ketara dan nilai penjenamaan sejagat untuk Singapura, dengan kesan limpahan kepada industri pelancongan seperti sektor runcit, bidang restoran dan hotel.

“Kami sentiasa bekerjasama rapat dengan penganjur acara untuk membangunkan atau membawa acara riadah bermutu tinggi yang menarik minat penduduk tempatan dan pelawat serta menambahkan kemeriahan kepada landskap pelancongan kami.

“Ini mengukuhkan lagi kedudukan Singapura sebagai destinasi perniagaan dan percutian terkemuka serta menawarkan latar belakang yang meriah untuk pengunjung Mice menikmati pengalaman di Singapura di samping penglibatan perniagaan mereka,” katanya.

Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Azhar Othman, turut berpendapat bahawa dengan adanya konsert oleh artis terkemuka dunia, ia bukan sahaja mampu meningkatkan reputasi Singapura sebagai destinasi Mice utama, malah menjadikannya tarikan sebagai destinasi persidangan antarabangsa, pameran dan acara perniagaan.

“Penganjur acara, pengendali tempat serta penyedia perkhidmatan akan lebih bersemangat untuk memberikan tawaran yang terbaik, memanfaatkan teknologi baru serta meningkatkan pengalaman acara keseluruhan.

“Komitmen untuk memperbaiki khidmat mereka ini akan mengukuhkan kelebihan daya saing Singapura dalam pasaran sejagat Mice, menarik acara yang lebih berprestij pada masa hadapan dan mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang industri Mice ini,” kata Encik Azhar yang turut menerajui cabang perniagaan DPPMS.

Selain sektor Mice, acara sebegitu juga mampu memberi rangsangan kepada industri pelacongan di sini.

Tempahan bilik hotel di sini misalnya dijangka meningkat dengan ketara bagi menampung kedatangan peminat luar negara.

Menurut wadah pelancongan digital Agoda, ia telah memerhatikan “peningkatan 8.7 kali ganda carian untuk penginapan di Singapura semasa siri konsert Coldplay” dan “160 kali lebih banyak carian untuk penginapan di Singapura daripada biasa” sewaktu konsert Taylor Swift.

Agoda berkata bahawa peningkatan itu didorong terutamanya oleh negara jiran Malaysia dan Indonesia, walaupun wadah itu turut menjangkakan untuk melihat lebih ramai pelancong dari Hong Kong, Australia dan Filipina juga.

Dr Walter Theseira, pakar ekonomi di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS), berpendapat bahawa kesan paling penting daripada penganjuran konsert itu ialah ia menggalakkan pelaburan ke dalam industri Mice Singapura dan membina reputasi Singapura sebagai hab acara serantau.

Memberitahu akhbar The Straits Times (ST) baru-baru ini, beliau berkata: “Kesan menganjurkan acara sebegini, sama ada konsert Taylor Swift atau Coldplay, adalah minimum.


“Namun kesan menjadi hab acara dengan rangkaian acara bermutu tinggi yang berterusan boleh menjadi sesuatu perkara yang cukup besar.”

Ketibaan pelawat antarabangsa ke Singapura meningkat kepada 1.13 juta pada Jun, melebihi paras satu juta untuk bulan keempat berturut-turut dan pulih daripada kemerosotan kecil pada Mei.

Perangkaan Jun meningkat daripada 1.11 juta yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, berdasarkan angka terkini STB pada 14 Julai.

Ia juga meningkat lebih dua kali ganda daripada 543,733 pengunjung yang dicatatkan pada bulan yang sama pada 2022.

Pada Januari, STB mengumumkan bahawa ketibaan pelawat antarabangsa ke Singapura dijangka mencecah 12 juta hingga 14 juta pada 2023, dengan pemulihan sepenuhnya pelancongan dijangka menjelang 2024.

Bagi memastikan Singapura mampu menjadi destinasi Mice terkemuka, STB berkata mereka kerap berhubung dengan perancang mesyuarat antarabangsa dan penganjur acara untuk berkongsi kepada mereka tentang kemudahan dan keupayaan Mice terkini yang terdapat di Singapura.

Ini termasuk hadir di pameran perdagangan utama sepanjang tahun seperti di IMEX (Frankfurt, Jerman dan Amerika Syarikat), ITB Asia, serta acara Mice seperti The Meetings Show (TMS) dan Persatuan Kongres dan Sidang Antarabangsa (ICCA).

Dalam pada itu, STB turut mengulangi kesediaan negara ini untuk mengadakan acara-acara perniagaan berskala antarabangsa.

“Penyertaan di wadah sebegitu juga memberi kita gambaran tentang arah aliran industri yang baru muncul dan mendapat akses terus kepada rangkaian persatuan dan penganjur acara,” tambah Encik Poh.

Encik Poh menegaskan bahawa STB juga telah mempertingkatkan skim bantuan dan insentif yang sejajar dengan perubahan keperluan pelawat sektor Mice dan menyokong pertumbuhan acara Mice di Singapura.

Salah satu contoh ialah Program Kelebihan Mice Singapura 3.0, satu skim diperbaharui yang menawarkan penganjur dan perwakilan acara kemudahan dan pilihan kemapanan baru sepanjang perjalanan penganjuran acara mereka di Singapura.

Sebagai persiapan bagi mengalu-alukan jumlah besar pelancong dari luar negara tahun depan, Encik Azhar menegaskan bahawa penting untuk membuat perancangan rapi agar dapat menganjurkan acara yang dapat memberikan pengalaman indah kepada pengunjung.

Justeru, beliau mengongsi beberapa panduan antaranya peka terhadap garis panduan terkini pemerintah, menjalankan penilaian risiko yang teliti, menawarkan pengalaman yang dikhususkan untuk memenuhi keperluan sasaran selain memanfaatkan teknologi digital.

Selain itu, mereka dinasihatkan untuk bekerjasama dengan rakan kongsi tempatan yang berpengalaman, vendor dan pembekal yang mempunyai rekod prestasi kukuh dalam melaksanakan acara dengan jaya.

“DPPMS boleh menyokong ahli kami dengan menghubungkan mereka dengan ahli lain yang menawarkan khidmat berkaitan dengan produk atau perkhidmatan yang mereka tawarkan.

“Dewan boleh membantu dalam menghubungkan ahli dengan bakal rakan kongsi yang sealiran dengan matlamat perniagaan mereka, memastikan kerjasama itu strategik dan menguntungkan bagi kedua-dua pihak,” ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >