Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Konvensyen AMP bakal diadakan 15 Okt

Aug 17, 2022 | 05:19 PM



KONVENSYEN Nasional Angkatan Karyawan Islam (AMP) Singapura keempat yang menyeru karyawan Muslim di sini membincangkan strategi dan huraian isu-isu keprihatinan Masyarakat Islam bakal diadakan pada 15 Oktober ini.



Acara itu bakal berlangsung di MAX Atria, aras dua Ekspo Singapura dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan bermatlamat mengumpul sekitar 500 hadirin termasuk karyawan, pengamal, dan aktivis tempatan.



AMP Singapura, dalam kenyataannya pada Rabu (17 Ogos) berkata acara itu adalah hasil proses perancangan dan penyediaan selama tiga tahun yang telah melibatkan pelbagai kajian, perbincangan strategik dan aktiviti pembentukan idea yang dianjurkan sejak tahun 2020.



Encik Lawrence Wong, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, bakal menghadiri majlis itu sebagai Tetamu Terhormat.



AMP berkata konvensyen tersebut menawarkan peluang bagi karyawan Islam terutamanya karyawan muda dan juga mereka yang baru bekerja untuk melibatkan diri mereka dalam pembentukan solusi bagi masyarakat serta memanfaatkan potensi mereka.



Memandangkan kadar golongan belia yang lebih besar di dalam masyarakat Islam Singapura, dua tema yang bertumpukan golongan berkenaan akan diketengahkan di konvensyen itu termasuk kepimpinan belia dan perancangan bagi penggantian kepimpinan di dalam badan masyarakat dan badan Islam, serta isu kesihatan mental dan ekonomi yang menjejas golongan belia Islam.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengendalian Konvensyen, dan Naib Pengerusi AMP, Encik Hazni Aris, para hadirin acara itu boleh menjangkakan pendekatan berbeza bagi membahaskan isu-isu yang membelenggu masyarakat Islam di sini.



Setiap hadirin diperlukan memikirkan huraian dan membahaskan isu-isu berdasarkan empat persona utama, iaitu seorang belia, seorang penyokong masyarakat, seorang warga emas dan keluarga, katanya dalam satu sidang media di AMP pagi Rabu (17 Ogos).



Encik Hazni berkata, pendekatan sebegitu membolehkan hadirin membincangkan tentang isu seperti kesihatan mental, penyertaan kaum wanita dan belia dalam kepimpinan pertubuhan masyarakat dan badan Islam, serta isu-isu yang kekal menjadi keprihatinan sejak sedekad lalu secara meluas dan holistik - tidak secara bersendirian.



Beliau menjelaskan persona berkenaan bukan sekadar watak dongeng yang dicipta semata-mata untuk perbincangan malah direka berdasarkan data dan statistik yang diperoleh AMP menerusi dua kajian yang ditempah AMP pada 2020.



Dua kajian tersebut adalah satu kajian mendalam oleh firma penyelidikan Blackbox berkenaan persepsi masyarakat Islam di sini serta sebuah kajian kecerdasan buatan (AI) oleh MyfinB yang memerhatikan pos-pos dimuatnaik di media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Whatsapp.



"Kajian yang terdiri daripada sesi temu bual mendalam yang dijalankan untuk Konvensyen ini menunjukkan adanya persepsi di kalangan belia bahawa generasi pemimpin lama keberatan untuk memberi peluang kepimpinan kepada para belia dalam badan masyarakat dan badan Islam, manakala peranan wanita dalam jawatan lembaga pengarah sering dianggap bersifat simbol (tokenistic)," kata AMP mendedahkan antara dapatan kajian tersebut.



"Kajian menunjukkan bahawa isu kesihatan mental di kalangan belia bersangkut paut dengan isu sosioekonomi. Antara cabaran yang para belia hadapi ketika mendapatkan bantuan bagi isu kesihatan mental termasuk jangkaan kos dalam mendapatkan bantuan profesional, kurang pengetahuan dan kesedaran tentang sumber bantuan yang relevan, dan juga kurangnya empati daripada badan-badan perkhidmatan sosial."



AMP menambah antara isu yang akan diketengahkan di Konvensyen ini termasuk jurang di dalam bantuan sosial yang ditawarkan untuk menangani kesihatan mental dan cabaran pendapatan rendah, dan juga pembangunan pemimpin wanita dan belia di dalam badan masyarakat dan badan Islam, yang akan menjejas masa depan masyarakat.



Konvensyen Keempat ini akan berbeza daripada konvensyen terdahulu kerana buat julung-julung kalinya ia akan menggunakan pendekatan pemikiran reka bentuk yang berpusatkan manusia/



"Menerusi pendekatan ini, Konvensyen ini akan melihat kepada isu-isu dari perspektif empat persona itu yang penting di dalam pembangunan jangka masa panjang masyarakat."



Pendaftaran bagi konvensyen berkenaan akan dibuka pada 1 September 2022. 



Butiran lanjut acara itu akan dikongsi di saluran media sosial menerusi @convo_4 di Instagram dan facebook.com/convo4.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >