Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Setempat

Koronavirus: 3 kes baru di Singapura, termasuk guru maktab rendah

Feb 07, 2020 | 07:05 PM

TIGA lagi warga Singapura, termasuk seorang guru maktab rendah, telah disahkan dijangkiti koronavirus dan tidak mempunyai kaitan yang diketahui dengan kes terdahulu atau sejarah perjalanan ke China, kata Kementerian Kesihatan (MOH) pada Jumaat (7 Feb), lapor The Straits Times.

Ini bermakna Singapura kini mempunyai 33 kes yang disahkan, termasuk 14 warga Singapura.

Di kalangan pesakit yang dijangkiti, dua telah dibenarkan pulang.

Dalam baki 31 kes, ramai dalam keadaan stabil atau bertambah baik, tetapi dua berada dalam keadaan kritikal dalam unit penjagaan rapi.

Berikut  apa yang diketahui tentang tiga pesakit baru yang disahkan pada Jumaat.

Butiran Kes Baru

Kes pertama: Lelaki warga Singapura berusia 53 tahun yang tidak ke China baru-baru ini, tetapi berada di Malaysia pada 6, 11 dan 17 Januari.

Beliau kini ditempatkan dalam ruang pengasingan di Hospital Besar Changi (CGH).

Beliau mengalami simptom pada 23 Januari dan mengunjungi klinik perubatan umum (GP) pada hari yang sama.

Beliau mengunjungi klinik GP berlainan pada 28 Januari dan dimasukkan ke CGH Sabtu lalu. Beliau disahkan dijangkiti virus itu pada Khamis sekitar 11 malam.

Beliau tinggal di Tampines Street 24. Sebelum beliau dimasukkan ke hospital, beliau pergi ke The Life Church and Missions Singapore di 146B Paya Lebar Road.

Beliau juga mengunjungi keluarga dan rakan-rakan semasa Tahun Baru Cina.

Kes kedua: Beliau wanita  warga Singapura berusia 42 tahun tanpa sejarah perjalanan baru-baru ini ke tanah besar China.

Beliau kini ditempatkan di ruang pengasingan di NCID.

Beliau mengalami simptom pada Ahad dan dimasukkan ke Hospital Parkway East pada Rabu.

Beliau disahkan positif pada Khamis sekitar 11 malam.

Beliau seorang guru di Maktab Rendah Victoria dan kali terakhir berada di sekolah pada 31 Januari.

Guru dan pelajar yang mempunyai hubungan dekat dengannya telah dikenakan cuti tanpa hadir (LOA) selama 14 hari.

Beliau tidak berinteraksi dengan rakan kerja dan pelajarnya selepas mengalami simptom pada Ahad.

Wanita itu tinggal di Elias Road dan telah mengunjungi Lapangan Terbang Changi dan Taman Haiwan Singapura.

Maktab rendah itu akan menyahjangkit bilik guru dan pantri. Kegiatan kokurikular akan digantung selama 14 hari. Kelas pula akan dijalankan dalam kumpulan yang lebih kecil.

Kes ketiga: Beliau wanita warga Singapura berusia 39 tahun tanpa sejarah perjalanan baru-baru ini ke tanah besar China tetapi berada di Malaysia dari 22 hingga 29 Januari.

Beliau kini dirawat di bilik pengasingan di Hospital Besar Sengkang.

Beliau mengalami simptom pada 30 Januari dan pergi ke jabatan kecemasan Hospital Besar Sengkang pada Ahad.

Beliau disahkan positif dijangkiti virus itu pada Khamis sekitar 11 malam.

Maklumat terkini tentang Kes Grand Hyatt

Lelaki Singapura berusia 27 tahun itu, yang menghadiri mesyuarat perniagaan privet di hotel Grand Hyatt Singapore dari 20 hingga 22 Januari, disahkan dijangkiti virus itu pada Khamis sekitar 2 petang.

Tiga orang lain yang menghadiri persidangan hotel itu ialah dua warga Korea Selatan dan seorang warga Malaysia yang diuji positif dijangkiti virus itu selepas mereka keluar dari Singapura.

Warga Singapura berusia 27 tahun itu mengalami demam pada 21 Januari dan mengunjungi sebuah klinik GP pada 28 Januari.

Beliau mendapatkan rawatan di klinik GP lain pada Isnin sebelum dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID) pada Khamis.

Sebelum beliau dimasukkan, beliau ke Far East Square dan Junction 8. Beliau tinggal di Shunfu Road. 

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian