Beberapa penipu yang menyamar sebagai kakitangan Kementerian Kesihatan (MOH) telah mencuri lebih $110,000 dalam satu penipuan berkaitan Covid-19 yang terkini.
Penipu itu menghubungi mangsa menerusi telefon dan mendakwa pihak berkuasa China telah merampas beberapa bungkusan ubatan kontraband bagi merawat koronavirus yang didaftar di bawah nama mereka, lapor The Straits Times (ST).
Panggilan itu kemudian dipindahkan kepada orang lain, yang mendakwa adalah polis China yang sedang menyiasat. Mangsa kemudian diperdaya untuk memberikan maklumat seperti butiran pasport, nombor NRIC dan maklumat perbankan dalam talian bagi membersihkan nama mereka.
Polis berkata pada Isnin (13 April) bahawa sejak Mac, mereka telah menerima sekurang-kurangnya lima laporan mengenai skim penipuan baru itu, yang melibatkan penipu menyamar sebagai pegawai dari China.
Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata tidak ada agensi pemerintah yang akan meminta penduduk memberikan maklumat peribadi atau mengirim wang melalui panggilan telefon atau mesin suara automatik.
SPF menasihati orang ramai agar menghubungi kenalan atau saudara yang dipercayai sebelum mengambil tindakan selanjutnya kerana mangsa mungkin terlalu emosi atau tidak dapat membuat penilaian yang baik.