Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:23
Setempat

Koronavirus: WHO tidak rancang ubah tempoh kuarantin 14 hari

Feb 12, 2020 | 08:29 AM

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) buat masa ini tidak mempertimbangkan perubahan kepada tempoh kuarantin 14 hari yang disyorkan, meskipun satu kajian baru oleh satu pasukan saintis China berkata koronavirus baru itu boleh mempunyai tempoh inkubasi sehingga 24 hari.

Pada Selasa (11 Februari), Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura berkata lebih banyak bukti yang diperlukan kerana sukar untuk menentukan daripada kajian itu apakah angka terasing (outlier) itu adalah disebabkan oleh kesilapan atau berat sebelah dalam metodologi kajian, lapor The Straits Times.

Kajian China itu, yang diketuai oleh pakar penyakit berjangkit Dr Zhong Nanshan, mendefinisikan tempoh inkubasi sebagai tempoh dari hubungan dengan sumber jangkitan ke permulaan simptom.

Ia mendapati bahawa tempoh inkubasi median adalah tiga hari, berdasarkan data 1,099 pesakit dari 552 hospital di China.

Tempoh inkubasi didapati antara sifar dan 24 hari, tetapi kajian itu tidak menyatakan berapa pesakit mengalami tempoh inkubasi lebih lama.

Pengarah eksekutif Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Michael Ryan, memberitahu sidang akhbar pada hari Isnin bahawa angka terasing perlu dikaji dengan teliti dan menambah bahawa tempoh inkubasi yang panjang mungkin disebabkan oleh "pendedahan dua kali".

Pendedahan pertama mungkin dianggap membawa kepada jangkitan, tetapi mungkin orang itu tidak dijangkiti virus itu, tetapi kemudian mendapat pendedahan kedua, kata Dr Ryan.