Kriteria Anugerah Mendaki akan disemak

Masagos: Langkah cerminkan perkembangan pendidikan setempat, pencapaian pelajar Melayu/Islam hari ini

KRITERIA bagi Anugerah Mendaki akan disemak bagi mencerminkan perkembangan pendidikan setempat dan pencapaian pelajar masyarakat Melayu/Islam hari ini, kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.

Encik Masagos menambah bahawa Mendaki akan berbincang dengan pihak seperti Kementerian Pendidikan bagi menentukan kriteria baru itu yang bakal diumumkan tahun depan.

Buat kali pertama, Anugerah Mendaki diberi kepada dua pelajar madrasah GCE Peringkat 'A' yang cemerlang pada tahun ini.

Anugerah Mendaki - yang mengiktiraf pencapaian akademik pelajar daripada peringkat tamat sekolah rendah PSLE hingga ke universiti - disampaikan kepada 590 pelajar dalam majlis penyampaian Anugerah Mendaki ke-36 di ITE College East, semalam.

Bercakap kepada media, Encik Masagos, yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air dan Pengerusi Yayasan Mendaki, berkata masyarakat Melayu/Islam harus berbangga kerana penerima anugerah itu meningkat saban tahun.

Ini terutamanya bagi penerima pelajar madrasah GCE Peringkat 'O', mencapai 38 orang tahun ini berbanding 19 tahun lalu, manakala penerima daripada Institut Pendidikan Teknikal (ITE) meningkat kepada 59 penerima tahun ini, berbanding 55 pada tahun lalu.

"Tahun ini, kami akan melakukan semakan kriteria bagi Anugerah Mendaki selaras dengan apa yang kami lakukan bagi Anugerah Belia Cemerlang (sebelum ini dikenali sebagai Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong) untuk tahun ini dan semakan serupa akan dilakukan bagi anugerah akademik ini.

"Kalau kita lihat, sistem pendidikan di Singapura telah berkembang dengan cara yang berbeza berbanding dekad-dekad lalu kerana kita melihat pencapaian hari ini berbeza daripada apa yang kita nilai tinggi pada masa lalu, mengiktiraf menjangkau pencapaian akademik.

"Jadi, kita harus selaraskan anugerah ini dengan perkembangan dalam sistem pendidikan nasional," jelasnya.

Menurut Encik Masagos lagi, apa yang signifikan tentang semakan itu adalah ia menunjukkan pendidikan merupakan satu teras yang penting dalam masyarakat Melayu/Islam.

"Apa yang penting, dalam usaha kita sebagai ibu bapa, masyarakat atau pemimpin, kita harus menggembleng tenaga agar pencapaian pendidikan terus meningkat tahun demi tahun," tambahnya.

Sementara itu, mengulas tentang pemberian Anugerah Mendaki kepada pelajar madrasah GCE Peringkat 'A', buat kali pertama tahun ini, Encik Masagos berkata:

"Pelajar madrasah Peringkat 'A' juga mencapai kecemerlangan yang harus diberi pengiktirafan.

"Mungkin belum ramai penerima, tetapi saya yakin dengan kebolehan pelajar madrasah, kita akan lihat peningkatan tahun demi tahun."

Antara penerima itu ialah bekas pelajar Madrasah Al-Ma'arif Al-Islamiah, Cik Nur Hikmah Md Ali, yang kini belajar di tahun pertama Universiti Nasional Singapura (NUS).

"Saya amat berbesar hati dengan anugerah ini, saya anggap ia satu pengiktirafan besar bagi pelajar madrasah Peringkat 'A' seperti saya dan menunjukkan betapa jauh kita sudah melangkah," terang penuntut berusia 19 tahun itu.


"Buat kali pertama saya menyampaikan Anugerah Mendaki kepada siswazah kita yang terbaik dari ITE, Poly dan Universiti. Saya sangat terharu melihat begitu ramai anak-anak kita yang cemerlang tahun ini - begitulah pencapaian kita saban tahun, dan sangat ramai jika dibandingkan dengan zaman saya dahulu. Syabas semua! Kita semua harus berbangga dengan pencapaian anak-anak bangsa kita! Saya sempat berpesan setelah bergambar supaya mereka jangan lupa menabur bakti kepada masyarakat.
Ia bagai putaran roda kehidupan kerana saya juga pernah menjadi penerima anugerah. Begitu juga Zaqy (Encik Zaqy Mohamad). Kini kami berdua sedang membantu Mendaki."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamed.

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
6:54
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:01
Isyak
8:09
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.