Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

BAHAS BELANJAWAN: KEMENTERIAN UNDANG-UNDANG

Kriteria baru manfaat bantuan guaman akan diperkenal

Perubahan tidak akan jejas jumlah warga yang layak terima pertolongan
Mar 03, 2021 | 05:30 AM



SATU set kriteria baru bagi mereka yang ingin mendapatkan bantuan di bawah Skim Bantuan Guaman Jenayah (Clas) akan diperkenal tahun ini, kata Menteri Kedua Undang-Undang Edwin Tong semalam.



Orang ramai yang ingin mendapatkan bantuan di bawah Clas akan dinilai berdasarkan pendapatan per kapita isi rumah, nilai tahunan rumah serta jumlah simpanan dan pelaburan bukan CPF mereka.



Berucap di Parlimen semasa perbahasan belanjawan Kementerian Undang-Undang (MinLaw), Encik Tong berkata perubahan itu tidak akan menjejas jumlah keseluruhan isi rumah di sini yang layak mendapatkan bantuan guaman jenayah, yang terhad kepada sekitar 25 peratus isi rumah warga atau penduduk tetap (PR) Singapura.



Encik Tong yang juga Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia berkata langkah yang akan dilaksana itu akan memudahkan proses aplikasi dan mengurangkan jumlah kertas kerja yang diperlukan bagi pemohon berbanding sekarang.



Tambahnya, langkah itu turut sejajar dengan kriteria kelayakan bagi bantuan guaman sivil yang dikemas kini pada Oktober 2019 dan dengan kriteria yang digunakan bagi skim bantuan sosial.



"Kami sedar akan keperluan dan akan terus menyemak bagaimana kita boleh meningkatkan akses kepada keadilan bagi tertuduh dengan kemampuan yang terhad, secara proaktif," ujar Encik Tong.



Beliau menarik perhatian terdapat ruang bagi fleksibiliti semasa menentukan sama ada pemohon bantuan guaman dalam keadaan luar biasa masih boleh layak mendapatkan bantuan tersebut dan peraturan itu membolehkan pegawai menggunakan budi bicara ketika menilai permohonan.



Sebagai contoh, jika seorang pemohon mengalami penyakit atau kecacatan yang teruk serta berusia 60 tahun dan ke atas, penilaian yang dijalankan boleh tidak mengambil kira sesetengah simpanannya semasa menentukan kelayakannya.



"Selain itu, kita juga telah membentuk Panel Ujian Kemampuan bebas yang mengkaji kes yang tidak memenuhi kriteria ujian kemampuan namun tidak mampu mendapatkan khidmat guaman asas disebabkan keadaan yang luar biasa," ujar Encik Tong.



Panel itu mempunyai fleksibiliti penuh untuk menentukan sama ada pemohon yang tidak memenuhi kriteria masih boleh layak mendapatkan bantuan guaman.



Tambahnya, ini sudah pun dilaksana bagi beberapa kes.



"Kami akan meneruskan usaha memastikan maklumat dan nasihat guaman dapat diakses dengan lebih mudah tahun ini," ujar beliau.



Sistem chatbot Biro Bantuan Guaman (LAB) yang dikenali sebagai iLAB dan dilancarkan Februari tahun lalu kini menyediakan maklumat guaman tentang pelbagai isu termasuk perceraian, perintah perlindungan peribadi (PPO) dan hak penjagaan.



Encik Tong berkata lebih banyak topik akan ditambah kepada chatbot itu dan LAB akan bekerjasama dengan agensi sosial untuk menawarkan nasihat guaman menerusi sidang video di ruang masyarakat termasuk di Our Tampines Hub dan lebih banyak Pusat Khidmat Keluarga (FSC).



Sementara itu, MinLaw juga sedang bekerjasama dengan Khidmat Pro Bono Persatuan Undang-Undang untuk mewujudkan portal maklumat guaman sehenti, dengan maklumat jelas tentang topik guaman lazim dan pelbagai jenis bantuan guaman yang disediakan, ujarnya.



Encik Tong turut menarik perhatian satu semakan terhadap model bantuan guaman jenayah yang bermula pada 2019 dan dijangka selesai tahun ini.



Semakan itu juga sedang mengkaji kemungkinan menubuhkan sebuah Pejabat Pembela Awam.



"Kami sedang mengkaji pengalaman negara lain dengan berhati-hati untuk mengelak daripada masalah yang mereka alami, seperti salah guna bantuan guaman oleh defendan yang kaya serta kesannya pada fraterniti guaman," ujar Encik Tong.



Dalam pada itu, beliau berkata sebuah jawatankuasa antara agensi juga telah memulakan satu semakan menyeluruh terhadap Rangka Kerja Pengurusan Pertikaian Masyarakat untuk mengatasi cabaran berhubungnya.



Agensi yang terlibat termasuk MinLaw, Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).



Menyifatkannya sebagai satu kajian yang rumit, Encik Tong berkata ia antara lain meninjau bagaimana pertikaian antara jiran dapat ditangani dengan lebih baik dan diselesaikan segera.



Tambahnya, pemerintah juga sedang mengkaji langkah untuk menggalak lebih ramai pihak yang terbabit untuk memilih pengantaraan masyarakat.



Selain itu, Encik Tong berkata kajian itu juga sedang meneliti bagaimana proses Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT) dapat dipertingkat.




"Kami sedar akan keperluan dan akan terus menyemak bagaimana kita boleh meningkatkan akses kepada keadilan bagi tertuduh dengan kemampuan yang terhad, secara proaktif."
- Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia dan Menteri Kedua Undang-Undang, Encik Edwin Tong




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >