Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kru penerbangan harus lalui ujian PCR lebih kerap, asingkan diri susuli 2 kes pramugara, pilot dijangkiti Covid-19

Dec 30, 2020 | 11:01 PM



KRU penerbangan Singapura perlu menjalani langkah kawalan Covid-19 lebih ketat dengan segera menyusuli berita pramugara dan juruterbang SIA disahkan menghidap koronavirus.



Mengumumkan demikian pada Rabu malam (30 Disember), Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) berkata, ia akan memperketat langkah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan kru udara dan demi melindungi kesihatan awam di Singapura.



"Kru udara berdepan dengan banyak risiko dalam tugas mereka. Mereka melakukan demikian kerana penting bagi Singapura mengekalkan ketersambungan udara. Banyak bekalan penting seperti vaksin hanya boleh dikirimkan menerusi udara. Warga Singapura di luar negara dan pelancong yang perlu mengembara atas urusan penting perlu berulang-alik dari Singapura," jelas CAAS dalam kenyataannya. 



Kes pertama, seorang pramugara, diuji positif Covid-19 pada 27 Disember. Beliau kali terakhir berkunjung ke New York dengan menaiki pesawat SQ24 pada 12 Disember dan kembali ke Singapura pada 16 Disember dengan menaiki pesawat SQ23.



Beliau tidak menampakkan tanda jangkitan pada ketika itu dan diuji pada 23 Disember dan 25 Disember di bawah protokol ujian bagi kru penerbangan Singapura apabila mereka kembali dari luar negara. Kedua-dua ujian tidak dapat diputuskan hasilnya tetapi ujian tambahan pada 27 Disember mengesahkan beliau positif Covid-19.



CAAS menambah siasatan awalnya menunjukkan lelaki itu mematuhi langkah mandat di dalam penerbangan dan tempoh rehat sebelum perjalanan diteruskan, meliputi langkah menggunakan pelitup, mengurangkan kontak dengan penumpang dan warga tempatan serta menetap di bilik hotel.



Sewaktu tempoh rehat sebelum meneruskan perjalanan di New York, beliau berinteraksi dengan pegawai imigresen dan kakitangan hotel yang menguruskan daftar masuknya serta mendapatkan makanan daripada kakitangan hotel yang mengirimnya ke bilik.



Semua kru penerbangan dan 16 penumpang yang duduk di bahagian kabin pesawat, tempat pramugara ini bertugas, menjalani ujian Covid-19 dengan hasilnya negatif.



Kes kedua, seorang juruterbang, diuji positif pada 29 Disember. Beliau kali terakhir terbang ke London dengan pesawat SQ322 pada 19 Disember dan pulang ke Singapura pada 22 Disember.



Juruterbang ini menjalani ujian pada 23 Disember dengan hasilnya negatif pada 25 Disember. Namun, pada 26 Disember, beliau demam dan berkunjung ke klinik bagi ujian reaksi rantaian polymerase (PCR) pada 27 Disember. Hasil ujian itu yang diperolehi pada 29 Disember positif.



CAAS berkata siasatan awal menunjukkan juruterbang itu mematuhi langkah mandat dalam penerbangan dan tempoh berehat seperti kes pertama. Beliau juga tiada kontak dengan penumpang dalam pesawat yang dikemudi.



Sewaktu tempoh rehat di London, beliau berinteraksi dengan pegawai imigresen dan kakitangan hotel yang menguruskan daftar masuknya. Beliau juga memperolehi makanan daripada kakitangan hotel yang mengirimnya ke bilik hotel.



Menurut CAAS lagi, setelah merujuk kepada Kementerian Kesihatan (MOH), ia kini memerlukan kru penerbangan yang berada dalam tempoh rehat sebelum menyambung penerbangan untuk mengurangkan lagi kontak dengan warga tempatan di negara yang dikunjungi.



Sebagai contoh, makanan yang dikirimkan menerusi khidmat kiriman ke bilik harus ditinggalkan di luar bilik dan di tepi pintu serta bukan diserahkan secara peribadi kepada kru penerbangan.



Mereka yang singgah ke destinasi berisiko tinggi akan diperlukan menjalani ujian PCR setibanya di destinasi tersebut dan pada hari ketiga dan ketujuh menyusuli kepulangan ke Singapura.



Kru penerbangan juga diperlukan mengasingkan diri hingga menerima hasil ujian negatif daripada ujian PCR yang dibuat pada hari ketujuh.



Sebagai tambahan, kru penerbangan yang berulang-alik ke Afrika Selatan perlu menggunakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) sepenuhnya termasuk pelitup N95, penghadang muka, gaun perlindungan dan sarung tangan.



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >