Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kumpulan baru bagi polis, firma teknologi kongsi data pengganasan, jenayah siber

Jan 07, 2021 | 05:30 AM



SEDANG kebanyakan perniagaan dan kegiatan beralih ke dalam talian bagi menyokong dan memastikan ekonomi Singapura dapat menakat dalam tempoh pandemik Covid-19 ini, ini membawa bersamanya ancaman dan cabaran keselamatan baru.



Oleh itu, operasi pihak berkuasa juga perlu berkembang sejajar kemajuan teknologi dan pendigitalan produk masa kini.



Ini ditekankan Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Desmond Tan, di pelancaran Kumpulan Pengawasan Keselamatan dan Sekuriti Industri (iSSWG) Dalam Talian semalam.



iSSWG ialah sebuah kumpulan baru yang akan berkongsi data pengganasan relevan dan tepat pada waktunya antara firma teknologi dan polis.



Ia merupakan kerjasama antara Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Gabungan Internet Asia (AIC), yang anggotanya termasuk Facebook, Google dan Grab.



ISSWG Dalam Talian akan membolehkan polis memanfaatkan rangkaian 15 firma teknologi AIC untuk mendapatkan pandangan mendalam yang dapat membantu memerangi pengganasan dan jenayah dalam talian lain.



"Jenis jenayah berubah dengan pantas. Walaupun kadar jenayah fizikal kekal rendah, jenayah dalam talian semakin meningkat, khususnya penipuan dalam talian," kata Encik Tan.



Sepanjang separuh pertama tahun lalu, jumlah laporan polis yang dibuat mengenai 10 jenis penipuan paling banyak berlaku meningkat lebih dua kali ganda berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.



Kerugian berjumlah lebih $82 juta dilaporkan pada separuh pertama tahun lalu, melonjak daripada $41.6 juta pada tempoh sama 2019.



Menurut satu kenyataan SPF, penipuan e-dagang, penipuan penyamaran di media sosial, penipuan pinjaman dan penipuan memancing data berkaitan perbankan ialah antara kebimbangan utama.



Pada masa sama, pihak berkuasa juga prihatin mengenai ancaman penyebaran propaganda kumpulan pengganas dalam talian.



"Penjenayah dan pengganas akan terus bersikap inventif untuk mengeksploitasi kelemahan di ruang maya. Kita mesti terus berkembang sejajar perkembangan teknologi ini.



"Kerjasama dengan masyarakat kita mesti melampaui bidang fizikal, yang perlu melibatkan rakan niaga dan entiti dalam talian, bagi memperkukuh ekosistem bagi respons lebih berkesan terhadap ancaman ini," tambah Encik Tan.



Oleh itu, beliau berharap iSSWG dalam talian dapat menggalak pertukaran dan perkongsian maklumat serta kepakaran bagi memerangi jenayah dan ancaman pengganasan dalam talian di samping memperkuat keselamatan platform dalam talian.



Encik Tan juga berharap ia dapat meningkatkan lagi kesedaran awam mengenai taktik penipuan yang sering digunakan penjenayah serta tentang keselamatan siber.



Mengulas tentang kerjasama itu, Pengarah Urusan AIC, Encik Jeff Paine, berkata: "Ramai dalam kalangan anggota kami sudah pun mula bekerja rapat dengan pihak berkepentingan, termasuk kumpulan sivik, pendidik, dan penggubal dasar, untuk meningkatkan kesedaran mengenai jenayah dan keselamatan dalam talian dan melindungi integriti perbualan dalam talian.



"Kami mengalu-alukan kerjasama mendalam dengan SPF untuk memperluas jangkauan kami dalam usaha membina masyarakat dalam talian yang lebih selamat bagi rakyat Singapura."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >