EMPAT lelaki - dua Melayu, seorang India dan seorang Cina - mengambil borang permohonan di Jabatan Pilihan Raya pada 16 Jun, untuk bertanding di Pilihan Raya Presiden September ini.
Namun, jurucakap kumpulan itu Encik Borhan Saini enggan mendedahkan identiti bakal calon yang diwakili mereka.
Katanya, kumpulan itu akan memberitahu identiti bakal calon itu di sidang media yang akan diadakan pada awal Julai ini.
Namun, Encik Borhan berkata calon yang mereka wakili itu ialah seorang lelaki Muslim berusia 60-an tahun, dan pengerusi syarikat berbilang negara.
Bakal calon itu tidak dapat mengambil borang kerana mempunyai urusan lain, tambahnya.
"Kami yakin orang yang kami wakili layak bertanding di Pilihan Raya ini. Kami akan dedahkan siapa dan menjawab soalan anda di sidang akhbar selepas Hari Raya nanti," ujar Encik Borhan, bercakap kepada media.
Rombongan berbilang kaum yang diketuainya itu terdiri daripada bekas pegawai perkhidmatan awam Encik Rahman Karmin, Encik Jimmie Wee, dan Kapten Sukumaran.
Pilihan Raya Presiden tahun ini dikhaskan bagi calon Melayu.
Sejauh ini, hanya seorang bakal calon Melayu telah tampil, Ketua Pegawai Eksekutif Second Chance Properties Encik Salleh Marican.
Pilihan Raya Presiden dijadual diadakan pada September nanti.
* Artikel ini telah disemak bagi menambah ketepatannya.