Subuh
5:55
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:41
Maghrib
7:20
Isyak
8:32
Setempat0

Kumpulan kecil seni boleh manfaat $4j Dana stART

Jan 14, 2021 | 05:30 AM

HAMPIR $ 4 juta telah dikumpul Dana Mempertahankan Kesenian (stART) yang bertujuan memperkukuh sektor seni dan budaya setempat.

Jumlah tersebut termasuk Dana Pemadanan Budaya (CMF) yang disumbang orang ramai kepada semua badan amal seni dan warisan.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama antara Majlis Seni Kebangsaan (NAC) serta sektor privet dengan tujuan menghulurkan bantuan kepada syarikat seni yang kecil untuk mencapai kemampanan dalam jangka panjang.

Sejak inisiatif tersebut dimulakan pada Mac 2020, sejumlah 20 kumpulan seni telah memanfaatkan dana itu dengan masing-masing menerima antara $20,000 dan $50,000.

Menekankan kepentingan inisiatif tersebut, Menteri Budaya, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, berkata ia merupakan daya usaha baru yang dapat membantu masyarakat seni untuk mendekati rakyat Singapura dengan skala lebih besar.

"Dengan menyokong kemampanan jangka panjang kumpulan seni kecil yang menambah kepelbagaian dan keterangkuman pada landskap seni, dana ini mendorong sambil mempamerkan kepemilikan bersama seni dan budaya kita antara sektor awam, swasta dan masyarakat.

"Ini adalah aspek penting ekosistem seni yang cergas di Singapura," ujarnya.

Encik Tong berkata demikian semasa merasmikan Dana stART di Teater Victoria semalam.

Dana tersebut telah berjaya untuk menyokong sebanyak 12 kumpulan seni untuk melaksanakan program mereka..

Ini termasuk Maya Dance Theatre, Era Dance Theatre Ltd dan Teater Ekamatra.

Dana tersebut juga membantu 14 kumpulan seni untuk berkembang dan diiktiraf sebagai badan amal atau IPC, seperti Reverberance Ltd, ArtsWok Collaborative Limited, dan Paper Monkey Theatre Ltd.

Ketua Jawatankuasa stART, Encik Pierre Lorinet berkata di tengah-tengah pandemik inilah masyarakat memerlukan sektor kesenian, mungkin lebih daripada masa-masa biasa, untuk memberi inspirasi, menghiburkan dan memberi harapan.

"Kita disatukan oleh kesenian kerana ia menyentuh kehidupan kita melalui perkongsian bahasa, kerana ia menyuburkan jiwa, merangsang akal dan membawa kegembiraan di hati kita.

"Kita telah menyaksikannya, terutamanya ketika kami melalui tahun 2020 yang mencabar- kesenian kini menjadi sumber keselesaan dan menyatukan orang, untuk terus meningkat semangat, mengingatkan masyarakat tentang anggota mereka dan kemanusiaan yang lebih besar,"katanya.

Sementara itu, dalam ucapannya juga, Encik Tong mendedahkan Dana stART merancang untuk mencapai sasaran $10 juta menjelang Mac 2023.

Walaupun keadaan semakin pulih dan ruang seni dibuka semula untuk persembahan secara 'live', Encik Tong berkata ia tetap akan mengambil masa sebelum keadaan dapat kembali seperti biasa, dari segi jumlah penonton yang dapat menikmati persembahan secara langsung.

"Kami menggesa rakan dan penyokong kami untuk melipatgandakan usaha membawa seni kepada semua orang.

"Seni akan membantu mengukuhkan ikatan kita dan memberi inspirasi kepada kita untuk mencapai tahap yang lebih tinggi,"ujarnya.


 "Dengan menyokong kemampanan jangka panjang kumpulan seni kecil yang menambah kepelbagaian dan keterangkuman pada landskap seni, dana ini mendorong sambil mempamerkan kepemilikan bersama seni dan budaya kita antara sektor awam, swasta dan masyarakat. Ini adalah aspek penting ekosistem seni yang cergas di Singapura."
- Menteri Budaya, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map