Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kumpulan kerja dibentuk kaji jadikan prasekolah lebih inklusif

Apr 11, 2019 | 05:30 AM



SEBUAH kumpulan kerja akan dibentuk bagi mengkaji cara lebih baik untuk mengintegrasikan kanak-kanak dengan keperluan pembelajaran di peringkat prasekolah.



Kumpulan kerja yang bakal ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) itu terdiri daripada wakil kumpulan masyarakat, pertubuhan kebajikan sukarela serta sektor pemerintah, akademik dan swasta, menurut laporan The Straits Times.



Ia akan mengkaji cara memperkukuh sokongan bagi kanak-kanak dengan keperluan pembangunan tahap sederhana hingga teruk dalam prasekolah.



Ia juga mahu meluaskan amalan-amalan baik kepada lebih banyak pusat.



Kumpulan kerja tersebut akan dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Parlimen Kanan (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Pendidikan), Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dan Dekan Bersekutu (Penyelidikan Pendidikan) Institut Pendidikan Nasional (NIE), Encik Kenneth Poon.



Kumpulan kerja itu diumumkan Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Desmond Lee, semasa lawatan beliau ke sebuah prasekolah My First Skool semalam.



Beliau berkata, beberapa skim perintis untuk mengintegrasikan kanak-kanak dengan keperluan pembelajaran telah dijalankan pada tahun-tahun kebelakangan ini yang melibatkan prasekolah seperti Canossaville Preschool dan Kindle Garden.



Encik Lee juga mengumumkan bahawa bermula Julai ini, program intervensi awal akan dipindahkan dari Pejabat Ketidakupayaan MSF ke Agensi Pembangunan Awal (ECDA) secara berperingkat.



Menjelang akhir tahun depan pula, semua perkhidmatan intervensi awal akan diuruskan ECDA.



Rasional di sebalik pemindahan tersebut, tambahnya, adalah agar agensi itu mempunyai pengawasan yang lebih baik terhadap keperluan perkembangan semua kanak-kanak di bawah usia tujuh tahun, memandangkan lebih banyak intervensi awal disampaikan melalui prasekolah.



"Bermula awal, memastikan semua anak-anak kita, warga muda Singapura berinteraksi dengan kanak-kanak daripada pelbagai latar belakang, keperluan dan keperluan pembangunan, merupakan permulaan yang baik," ujar beliau.



"Kami rasa amat penting untuk mengambil langkah seterusnya iaitu menyatukan perancangan, pembangunan, operasi dan peraturan kedua-dua pendidikan awal kanak-kanak serta intervensi awal.



"Kanak-kanak dan ibu bapa perlu melihat integrasi perkhidmatan yang lebih baik merentasi pendidikan awal kanak-kanak dan intervensi awal," tambah Encik Lee.



Awal tahun ini, MSF mengumumkan perancangan menjadikan intervensi awal lebih dimampui serta lebih menyesuaikan sokongan bagi kanak-kanak.



Cik Phoon Chew Ping, pegawai kumpulan sokongan kanak-kanak bagi NTUC First Campus, menyokong pemindahan perkhidmatan intervensi awal ke ECDA.



Katanya: "Meletakkan semua program di bawah satu bumbung bermakna semua maklumat tentang keperluan setiap anak akan ada dalam satu agensi. Kami melihat keperluan anak tersebut secara keseluruhan dan memusatkan program di sekitar kanak-kanak tersebut."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >