Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Bahas Belanjawan

Kumpulan kerja laksana pelan tindakan Wakaf Masyarakat SG

Mar 11, 2022 | 07:30 AM



TIGA kumpulan kerja telah dibentuk Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) bagi melaksanakan pelan tindakan terperinci bagi Wakaf Masyarakat Singapura (WMS), kata Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad.



Kumpulan-kumpulan kerja itu yang terdiri daripada pegawai Muis dan pakar industri, akan mengambil kira saranan yang diketengahkan Panel Penasihat tahun lalu.



Memberikan butirannya semasa perbahasan Jawatankuasa Perbekalan mengenai ehwal masyarakat Islam semalam, Encik Masagos berkata:



"Ia akan mengambil kira saranan daripada Laporan Panel Penasihat yang telah dikemukakan tahun lalu.



"Ini termasuk rancangan seperti melibatkan institusi masyarakat seperti wakaf dan masjid-masjid untuk menghimpunkan aset-aset, dan melaburkan rizab yang ada untuk mengembangkan dana korpus.



"Menggalak penyertaan masyarakat dengan meningkatkan kesedaran mengenai wakaf, khususnya berkenaan perancangan harta dan pusaka," ujar beliau.



Sejak pelancaran WMS, sebuah Panel Penasihat ditubuhkan untuk mendapat maklum balas daripada pihak berkepentingan dan memberi saranan untuk menggembleng sokongan masyarakat, serta melaksanakan wakaf ini.



Menurut kenyataan Muis, keutamaan kumpulan kerja itu adalah untuk meneliti struktur WMS dan model kerja optimum serta membangunkan dan melaksanakan pelan tindakan terperinci.



Selain itu, ia juga akan mendidik orang awam termasuk membina legasi dan wasiat, jelas kenyataan itu.



Kumpulan-kumpulan kerja akan terdiri daripada wakil Muis di samping pakar dan karyawan dari sektor keagamaan, hartanah, pelaburan, undang-undang dan kemasyarakatan.



Wakaf Masyarakat Singapura pertama kali diperkenalkan semasa Perjumpaan Hari Raya Menteri pada 2020.



Ia dirancang menjadi dana endowmen Islam yang menjana pendapatan mapan bagi keperluan jangka panjang masyarakat dalam cara lebih komprehensif, khususnya dalam bidang yang tidak disokong oleh sebarang dana berstruktur.




 APA KATA ANGGOTA PARLIMEN

 
 ''Kalau kita lihat, biasanya pada awal permulaan tempoh hukuman pesalah, keluarga pesalah mungkin belum berasa terdesak untuk keperluan harian. Namun, semakin hari, keluarga pesalah mungkin berasa terkurung dan tertekan.. Kalau kita tidak prihatin, anggota keluarga lain boleh terjejas juga. Usaha seperti sokongan integrasi semula bagi para pesalah dan keluarganya harus dipertingkatkan.''
- Cik Nadia Samdin (GRC Ang Mo Kio)




''Pada masa yang mendatang, dengan perubahan global yang pesat dan lahirnya bidang-bidang ilmu yang baru, akan ada lebih ramai pelajar-pelajar Melayu yang mungkin ingin mengambil peluang untuk menimba ilmu dan pengalaman di institusi-institusi pengajian tinggi di luar negara. Saya harap Yayasan Mendaki dapat meluaskan lagi Skim Pinjaman Pengajian (Luar Negara) dari segi jumlah pinjaman dan juga merangkumi lebih banyak bidang-bidang ilmu yang baru. Ini supaya hasrat dan aspirasi pelajar-pelajar Melayu kita tidak terhambat kerana faktor kewangan.''
- Encik Faisal Manap (GRC Aljunied).




''Saya amat berbesar hati kerana ramai anggota masyarakat kita telah maju dan cemerlang dalam pendidikan pada tahun-tahun yang sudah, baik di bidang sekular mahupun madrasah. Dalam hal ini, adakah kajian dibuat tentang perjalanan kejayaan ini serta bagaimanakah kita boleh dan harus mengekalkan kejayaan ini? Selain kadar kejayaan, bolehkah kita melakarkan rancangan untuk meningkatkan prestasi mereka yang mungkin ketinggalan?''
- Anggota Parlimen Dilantik, Encik Abdul Samad Abdul Wahab




''Keluarga-keluarga yang memerlukan kadangkala menghadapi kesukaran meniti sistem sokongan sosial untuk mendapatkan bantuan yang tepat pada masanya dan holistik, atau untuk mendapatkan akses kepada inisiatif nasional yang mungkin memberi manfaat kepada mereka. Badan-badan Melayu/Islam juga boleh memainkan peranan untuk membantu melengkapi dan menyokong inisiatif-inisiatif ini.''
- Anggota Parlimen Dilantik, Dr Shahira Abdullah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >