Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Bahasa & Budaya
34
0

Kumpulan Pantunism perkasa seni pantun di kalangan anak muda

Nov 11, 2021 | 05:30 AM



Berpantun bukanlah hanya untuk golongan berusia. Ia juga boleh dilestarikan generasi muda seperti anggota-anggota Pantunism. Walaupun berbeza latar belakang, ia bukan halangan bagi anggota Pantunism menanam minat tinggi terhadap dunia pantun. Ikuti temu bual BERITA HARIAN bersama mereka tentang keseronokan berpantun sebagai warisan kesenian Melayu.



ENCIK IRFAN AZMAN, 25 TAHUN



Lulusan: Diploma Elektronik Aeroangkasa (Politeknik Singapura)



Pekerjaan: Juruteknik Pesawat



Soalan: Apakah keseronokan berpantun?



Berpantun menguji minda dan mengasah fikiran supaya lebih cerdas. Ia dapat memberi kepuasan apabila kita dapat menjawab sesuatu pantun dengan cepat dan tepat.



Ia juga dapat melebarkan lagi ruang kreativiti seseorang itu supaya dapat menyampaikan sesebuah mesej dengan bahasa yang lebih indah dan berbunga.



CIK FARAH ROSLEE, 24 TAHUN



Lulusan: Diploma Penulisan Kreatif dan Media Baharu (Politeknik Singapura)



Pekerjaan: Pekerja bebas dalam industri media



Soalan: Mengapa memilih Pantunism sebagai wadah pantun?



Saya memilih menjadi ahli Pantunism kerana minat yang dipupuk oleh guru-guru terhadap pantun dan sastera Melayu secara am.



Saya juga tidak perlu risau sekiranya pantun saya tidak begitu hebat kerana di Pantunism, kami sentiasa didorong untuk terus mencuba mengikut kemampuan masing-masing.



Kami juga digalakkan supaya mempunyai identiti sendiri dalam berpantun. Hal-hal sebegini membuat saya rasa sangat selesa menjadi anggota Pantunism.



CIK SHAFIQAH AIN, 22 TAHUN



Lulusan: Diploma Pengurusan Sumber Manusia dan Psikologi (Politeknik Singapura),



Pekerjaan: Penganalisis Perniagaan



Soalan: Adakah pantun masih relevan?



Pada pendapat saya, pantun sangat relevan kerana ia boleh digunakan dalam kehidupan harian pada bila-bila masa sahaja, sama ada ketika berborak dengan kawan, membeli barang, bergurau atau merisik sekalipun.



CIK ERLINA KESUMA, 27 TAHUN



Lulusan: Diploma Reka Bentuk Permainan (Politeknik Republik),



Pekerjaan: Guru Pendidikan Khas



Soalan: Apakah keistimewaan pantun di mata anda?



Bagi saya, pantun ini istimewa kerana ia berbentuk tulisan yang terbuka kepada pelbagai tafsiran, emosi dan pemahaman bergantung pada pengalaman pembaca.



Tidak kira apa yang dilalui seseorang dalam hidup, membaca pantun adalah satu terapi dan berbentuk peribadi.



Penggunaan perlambangan, metafora dan kiasan yang digandingkan dengan ayat tersusun menunjukkan bahawa sesebuah tulisan itu mempunyai makna mendalam dan menghadirkan pengalaman baru kepada pembaca.



CIK SYAFIQAH AZIZ, 25 TAHUN



Lulusan: Diploma Produksi Media dan Reka Bentuk (Politeknik Republik),



Pekerjaan: Guru Penjagaan Murid



Soalan: Bagaimana menarik perhatian anak muda untuk meminati pantun?



Seiring dengan kemajuan media sosial, kami menarik perhatian anak muda dengan mengikuti trend-trend terkini.



Kami mendorong anak-anak muda untuk menyertai peraduan pantun melalui sebaran poster di media sosial.



Salah satu cabaran yang kita adakan tahun lepas ialah #cabaranberpantundirumah - dengan tema dan pembayang diberikan dan sesiapa sahaja boleh melengkapkan pantun dua kerat dengan menghantar pantun mereka di ruangan komen.



Pantun yang terpilih akan dimuat naik di laman media sosial lain seperti Facebook.



Cabaran ini menggalakkan anak muda menjawab pantun kerana tiada kriteria yang diberikan dan membuat mereka selesa untuk mencuba.



Kami juga menyahut cabaran penganjur pantun dari negara jiran, yang dinamakan #cabaranlemakmanis.



Melalui cabaran itu, peserta harus mencipta sebuah pantun melalui lagu.



Dengan cara ini, ia dapat menarik perhatian lebih ramai anak muda untuk meminati pantun dengan membawa kesedaran bahawa "Pantun tidak 'rigid', tetapi fleksibel".



ENCIK SHAHRIL SAMRI, 33 TAHUN



Lulusan: Diploma Elektronik Hiburan Digital (Politeknik Republik) dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Institusi Kebangsaan KLC)



Pekerjaan: Guru prasekolah



Soalan: Bagaimana masyarakat boleh belajar berpantun?



Sebenarnya, masyarakat boleh belajar pantun di mana sahaja.



Mereka harus berani mencuba, berusaha dan sedia menerima kritikan. Pergi sahaja ke dunia digital, banyak kumpulan pantun (seperti Pantunism) yang berkongsi karya serta tips menulis pantun.



Penggunaan pantun juga boleh membantu murid-murid memperkayakan kosa kata mereka.



Beri mereka satu cabaran untuk mencari perkataan yang berima.



Lantas, mereka akan belajar perkataan baru dan sentiasa merujuk kamus.



Pantunism turut sedia menerima karya pantun daripada sesiapa tanpa menghukum mereka.



Biarlah mutu pantun tidak sehebat mana atau biarlah orang mengecam karya kita.



Sekurang-kurangnya, kita mencuba, berusaha dan memperbaikinya secara perlahan.



Apabila sudah ada kebolehan, jangan lupa berkongsi ilmu dan terus belajar daripada pemantun arif.



Dunia pantun begitu luas, lantas sedarlah betapa ceteknya ilmu kita. Kalau bukan kita (orang Melayu) yang melestarikan pantun, siapa lagi?




"Berpantun menguji minda dan mengasah fikiran supaya lebih cerdas. Ia dapat memberi kepuasan apabila kita dapat menjawab sesuatu pantun dengan cepat dan tepat."
- Encik Irfan Azman.



"Kami juga digalakkan supaya mempunyai identiti sendiri dalam berpantun. Hal-hal sebegini membuat saya rasa sangat selesa menjadi anggota Pantunism."
- Cik Farah Roslee.



"Pada pendapat saya, pantun sangat relevan kerana ia boleh digunakan dalam kehidupan harian pada bila-bila masa sahaja, sama ada ketika berborak dengan kawan, membeli barang, bergurau atau merisik sekalipun."
- Cik Shafiqah Ain.



"Bagi saya, pantun ini istimewa kerana ia berbentuk tulisan yang terbuka kepada pelbagai tafsiran, emosi dan pemahaman bergantung pada pengalaman pembaca."
- Cik Erlina Kesuma.



"Kami mendorong anak-anak muda menyertai peraduan pantun melalui sebaran poster di media sosial.

...Cabaran ini mengalakkan anak-anak muda menjawab pantun kerana tiada kriteria yang diberikan dan membuat mereka selesa untuk mencuba."

- Cik Syafiqah Aziz.



"Mereka harus berani mencuba, berusaha dan sedia menerima kritikan. Pergi sahaja ke dunia digital, banyak kumpulan pantun (seperti Pantunism) yang berkongsi karya serta tips-tips menulis pantun."
- Encik Shahril Samri.




#CABARANBERPANTUN OLEH PANTUNISM



Lengkapkan pantun mengikut gaya anda sendiri!



* Lengkapkan maksud:



Langit indah terang cahaya,

Bunga-bunga mekar di taman;



________________________



________________________



* Lengkapkan pembayang:



_____________________



_____________________



Jaga-jaga air yang tenang,

Jangan disangka tiada buaya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >