SATU kumpulan sokongan tidak formal telah dilancarkan untuk membantu golongan penjaga individu berkeperluan khas.
CaringSG dilancarkan pada Sabtu (20 Nov), bersama inisiatif pertamanya, Project 3i, yang bertujuan memperkukuh sokongan bagi golongan penjaga menerusi tiga program untuk masyarakat, keluarga dan individu.
Penjaga dalam program itu akan dihubungkan dengan penjaga lain, sukarelawan dan karyawan, seperti doktor dan ahli terapi, yang akan memberi sokongan.
Kumpulan sokongan itu ditubuhkan oleh Dr Lim Hong Huay, seorang ahli epidemiologi serta doktor paediatrik yang mempunyai dua kanak-kanak autisme.
Beliau menubuhkan CaringSG apabila pandemik Covid-19 melanda tahun lalu, lapor The Straits Times.
“Semasa pemutus litar tahun lalu, banyak sekolah pendidikan khas dan campur tangan awal terpaksa menghentikan perkhidmatan mereka dan keluarga terperangkap di rumah,” katanya.
Kanak-kanak keperluan khas, seperti mereka yang mempunyai autisme, menghadapi kesukaran menyesuaikan kepada perubahan rutin.
Ramai penjaga juga mengalami keletihan dan isu kesihatan mental. Justeru, kumpulan itu ditubuhkan untuk menggembleng tenaga masyarakat bagi menyokong golongan ini.
Menghadiri acara pelancaran kumpulan itu, Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, berkata:
“CaringSG unik kerana ia ditubuhkan dari bawah, diasaskan dan dipimpin oleh penjaga, untuk berkhidmat kepada penjaga lain. Jadi mereka memahami keperluan khusus golongan penjaga, dan boleh berkhidmat dengan lebih baik,” kata Encik Lee.
Contohnya, program masyarakat CAREconnect bertujuan melengkapkan penjaga dengan maklumat dan sokongan sosial, dan membantu mereka membina daya tahan, dengan menghubungkan mereka dengan pihak lain dalam masyarakat.
Seramai 21 sukarelawan di bawah program itu telah dilatih mengenai keperluan penjaga dan cara berinteraksi dengan mereka dan keluarga mereka.