SEKITAR LAWATAN PRESIDEN HALIMAH KE TIMUR TENGAH

Kunjungan perdalam kerjasama

Presiden Halimah diundang tinjau ruang dalam Kaabah, makam Rasulullah

PRESIDEN Halimah Yacob amat berterima kasih kepada Arab Saudi kerana memberi beliau dan rombongannya peluang menziarahi beberapa tempat khusus di Makkah dan Madinah.

Sebelum ke negara itu, beliau dan rombongannya termasuk Menteri Sekitaran dan Sumber Air, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, turut mengadakan lawatan negara ke Kuwait.

Menerusi laman Facebook beliau semalam, Puan Halimah yang baru sahaja pulang ke tanah air berkata lawatan ke kedua-dua negara tersebut membuahkan hasil.

"Saya berterima kasih kepada Arab Saudi kerana memberikan akses khas kepada saya dan rombongan saya mengunjungi Raudhah di Masjid Nabawi dan Kaabah di Makkah, dua tapak suci bagi umat Islam," katanya.

Lawatan Puan Halimah ke Kuwait dan Arab Saudi minggu lalu merupakan lawatan negara sulung beliau ke Timur Tengah.

Bercakap kepada media Singapura sebagai menggulung lawatannya itu, Puan Halimah berkata lawatan tersebut memberi banyak manfaat, dengan kedua-dua negara Timur Tengah mengutarakan hasrat memperdalam dan memperluas kerjasama.

Satu memorandum persefahaman ditandatangani antara Singapura dengan Arab Saudi bagi memperdalam kerjasama dalam perlindungan sekitaran dan pengurusan sumber air.

Puan Halimah juga dianugerahkan Darjah Utama Abdulaziz Saud - anugerah awam tertinggi Saudi - oleh Raja Salman Abdulaziz Al Saud. Beliau satu-satunya warga Singapura yang diberi penghormatan itu.

Puan Halimah, turut membuat permohonan kepada Raja Salman agar menambah kuota haji yang diperuntuk bagi Muslim Singapura. Buat masa ini, Arab Saudi memperuntuk 900 tempat rasmi dan Muslim Singapura boleh menjangka penantian sekurang-kurangya 37 tahun untuk menunaikan haji.

Di Kuwait pula, Puan Halimah bertemu Amir Kuwait, Sheikh Sabah Al Ahmad Al Jaber Al Sabah, dan beberapa pegawai kanan kerajaan.

Menurut Puan Halimah, pertemuan yang diadakan mesra dan kedua-dua pihak melahirkan harapan memperdalam hubungan jangka panjang antara Singapura dengan Kuwait.

Puan Halimah turut bertemu warga Singapura yang menetap di Kuwait dan Arab Saudi.

Mereka terdiri daripada pelajar di institut pengajian agama dua negara itu, pekerja dan peniaga. Puan Halimah berpesan kepada mereka supaya sentiasa berhubungan dengan sanak-saudara di Singapura dan mengikuti perkembangan di Singapura.

Beliau turut menggesa peniaga sektor privet supaya merebut peluang perniagaan yang mula muncul di Kuwait dan Arab Saudi, dengan kedua-dua negara mengorak langkah memperluas ekonomi.

Dalam pada itu, mengulas lawatan tersebut, Encik Masagos berkata:

"Alhamdulillah. Kami menganggap peluang dibawa memasuki ruang Kaabah dan ruang dalaman makam Rasulullah saw sebagai satu penghormatan besar buat Singapura dan Presiden Halimah. Di Timur Tengah, beliau kian menjadi contoh Muslimah yang diteladani buat ramai dan kami bangga Puan Halimah mewakili masyarakat kita di Singapura."


"Alhamdulillah. Kami menganggap peluang dibawa memasuki ruang Kaabah dan ruang dalaman makam Rasulullah saw sebagai satu penghormatan besar buat Singapura dan Presiden Halimah. Di Timur Tengah, beliau kian menjadi contoh Muslimah yang diteladani buat ramai dan kami bangga Puan Halimah mewakili masyarakat kita di Singapura."
- Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.