Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG RAMADAN

Kurang tabung fizikal tapi TAA harap derma tidak kurang

Kempen Ramadan tahun ini diharap kumpul $1.2j agar agihan bantuan dikekal meski tiada tabung utama di pusat beli-belah Joo Chiat Complex
Apr 01, 2022 | 05:30 AM



URUS niaga wang yang dilakukan dalam talian bukan perkara yang baru, tetapi Tabung Amal Aidilfitri (TAA) berkata keputusannya untuk mengalihkan sebahagian usaha mengutip derma ke dalam talian semasa pandemik telah meraih hasil.



Biasanya, orang ramai boleh menderma di kotak-kotak derma yang diletakkan di tempat-tempat strategik di Bazar Raya.



Namun sejak Bazar Raya ditiadakan, sumber derma utama bagi TAA itu turut kehilangan.



Malah, sejak 2020, talian derma Telepoll 1900 - yang menerima derma menerusi telefon - dihentikan oleh penyedia khidmat apabila undang-undang berubah.



Justeru TAA terpaksa mengalihkan wadah untuk mengumpul derma sepenuhnya ke dalam talian, di laman www.taa.sg, dan juga kaedah lain seperti PayNow, pemindahan bank dan laman web pengumpulan dana Giving.sg supaya orang ramai boleh terus menyumbang.



Langkah itu terbukti berbaloi.



Sebelum perkembangan tersebut, 10 peratus kutipan TAA sebelum ini diperoleh dari wadah dalam talian.



Namun, selepas kutipan derma dialihkan sepenuhnya ke dalam talian, sehingga 80 peratus sumbangan derma dari pihak awam diterima menerusi wadah tersebut.



Pengerusi TAA, Encik Zulkifli Mohammed, berkata:



"TAA tidak mahu ketinggalan, kalau kami ikut cara lama, tiada kepastian mengenai wang yang dapat TAA kumpulkan.



"Tahun lepas kami mengambil risiko untuk mencuba cara baru dan alhamdulillah ia berhasil. Jumlah wang yang terkumpul seakan sama dengan yang diterima melalui kutipan di kotak-kotak derma TAA sebelum ini.



"Ini adalah sesuatu yang baru buat kami dan TAA harus maju ke depan mengikut arus permodenan."



Kempen Kebajikan Ramadan TAA tahun ini dilancarkan kelmarin di Wisma Geylang Serai, dengan sasaran mengutip lebih $1.2 juta.



Juga, derma $450,000 yang dikumpulkan menerusi Kempen Sinaran Hati yang berlangsung Oktober-November tahun lalu akan disalurkan bagi pengagihan akan datang ini.



Menurut TAA, ia berhasrat mengumpulkan jumlah itu supaya dapat mengekalkan bilangan benefisiari yang diberi bantuan.



Tahun lalu, TAA berjaya mengagihkan lebih $1.8 juta kepada 3,600 benefisiari, jumlah tertinggi dalam sejarahnya.



Bercakap di majlis pelancaran TAA itu, Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, berkata beliau berasa bangga dengan masyarakat yang sedia membantu golongan memerlukan walaupun dalam waktu sukar.



"Ini menunjukkan sifat keihsanan dan prihatin masyarakat kita, meskipun dalam waktu pandemik... kita akan terus membantu antara satu sama lain, tidak kira jumlah wang dan dari wadah apa sekali pun," ujar Dr Faishal.



Dalam pada itu, ketiadaan tabung TAA di pusat beli-belah Joo Chiat Complex tahun ini dikhuatiri menjejas sasaran badan amal tersebut untuk mengumpul lebih $1.2 juta dalam kempen Ramadan tahun ini.



Tabung di Joo Chiat Complex itu biasanya menerima kutipan paling besar berbanding tabung-tabung di tempat lain.



"Kami berharap kempen Ramadan ini dapat mengumpul dana yang mencukupi agar kuantum pengagihan dana bantuan tahun ini dapat dikekalkan," kata jurucakap TAA.



Tahun ini, TAA tidak dapat meletakkan tabungnya di kompleks beli-belah itu dan menjangkakan kutipan derma akan terjejas dalam kempen tahun ini.



Ramadan lalu, kutipan tabung di Joo Chiat Complex sahaja melebihi $90,000.



Jurucakap TAA berkata: "Dasar pengurusan Joo Chiat Complex tidak mengizinkan meletakkan tabung di pekarangannya pada tahun ini."



Tabung TAA yang paling dekat dengan Joo Chiat Complex ialah di kedai makan Mr Teh Tarik di Pasar Geylang Serai.



Namun, kesan ketiadaan tabung fizikal itu diharap dikurangkan selepas TAA mengalihkan tumpuan mengutip derma ke dalam talian sejak pandemik bermula.



Bagi mengatasi cabaran ketiadaan tabung di Joo Chiat Complex itu, jurucakap TAA berkata badan amal tersebut merancang meningkatkan iklan di wadah digital Berita Harian (BH) bagi menjangkau kepada pembaca akhbar dalam talian.



Mesej dan permohonan derma untuk kempen Ramadan tahun ini juga akan disampaikan melalui akhbar cetak BH, saluran Mediacorp, Radio Warna 94.2 dan juga di media sosial.



TAA juga sedang berbincang dengan syarikat Orange Travel mengenai kemungkinan meletakkan tabungnya di Bazar Geylang Serai.



Kempen Ramadan TAA kali ini membawa cogan kata Ikhlas Menderma, Syukur Bersama.



Tahun ini, TAA memaparkan kisah salah seorang penerima bantuannya, Cik Aisah Ibrahim, dalam kempennya.



Cik Aisah, 75 tahun, menghidap poliomielitis sejak kecil yang menyebabkannya kededua kakinya menjadi lumpuh.



Walaupun mengalami ketidakupayaan fizikal, beliau kekal bersemangat untuk mengharungi cabaran hidup.



Cik Aisah aktif mengambil bahagian dalam kegiatan masyarakat bagi golongan kurang upaya untuk menyokong dan mendorong mereka.



Beliau kini menjaga suaminya yang terlantar sakit di katil.



Duta amal yang akan menyokong kempen TAA ialah pelakon Shahril Wahid dan cef selebriti, Cef Mel Dean.



Jumlah dana yang diagihkan oleh TAA telah meningkat sejak 2019, selaras dengan bilangan benefisiari yang dibantunya.



Pada tahun itu, TAA mengagihkan dana lebih $1.19 juta semasa Ramadan. Ini disusuli pengagihan dana sekitar $1.49 juta kepada sekitar 3,300 benefisiari pada 2020, termasuk bantuan tambahan sekitar $330,000 yang diberikan menerusi pengagihan kedua.



Pada tahun lalu pula, TAA mengagihkan dana rekod lebih $1.86 juta kepada sekitar 3,600 benefisiari. Jumlah ini termasuk dana lebih $430,000, yang diberikan menerusi agihan kedua.



Selain menerima dana $400 semasa agihan pertama pada Ramadan, setiap benefisiari telah menerima wang tunai $120 bagi agihan kedua.




"TAA tidak mahu ketinggalan, kalau kami ikut cara lama, tiada kepastian mengenai wang yang dapat TAA kumpulkan. Tahun lepas kami mengambil risiko untuk mencuba cara baru dan alhamdulillah ia berhasil. Jumlah wang yang terkumpul seakan sama dengan yang diterima melalui kutipan di kotak-kotak derma TAA sebelum ini. Ini adalah sesuatu yang baru buat kami dan TAA harus maju ke depan mengikut arus permodenan."
- Pengerusi TAA, Encik Zulkifli Mohammed.




  • Laporan tambahan oleh HANS ASHRIE DAUD




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >