Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Kurikulum khas ajar Bahasa Melayu dilaksana di semua tadika MOE

Feb 13, 2018 | 05:30 AM



SATU kurikulum khas bagi mengajar Bahasa Melayu di peringkat prasekolah kini dilaksanakan di kesemua Tadika Kementerian Pendidikan (MOE).



Kurikulum tersebut menekankan aspek bermain secara terarah dan kualiti berinteraksi untuk menyemai minat serta keyakinan kanak-kanak berkomunikasi dalam bahasa ibunda.



Ia juga tidak terlalu tertumpu kepada aspek pembacaan sahaja, kata Penolong Pengarah Bahasa Melayu dan Pakar Kanan Cawangan Bahasa Ibunda Bahagian Perancangan dan Pengembangan Kurikulum, Encik Tajudin Jaffar, baru-baru ini.



Menurut beliau, kanak-kanak secara semula jadi mempunyai sifat ingin tahu, justeru penggunaan bahan-bahan yang yang menarik perhatian mereka amat penting.



"Apabila mereka minat dengan kandungan bahan-bahan yang digunakan, secara tidak langsung kanak-kanak itu akan terdorong menggunakan bahasa tersebut dengan bantuan guru," ujarnya.



Lantaran itu, MOE telah memperkenalkan buku-buku besar yang mempunyai konteks kehidupan masyarakat setempat agar kanak-kanak tersebut dapat membincangkan topik-topik yang berkait rapat dengan kehidupan harian mereka.



Sejauh ini, sebanyak 32 buku besar telah dihasilkan bagi Tadika 1 dan 2 dengan pelbagai topik berkaitan masyarakat tempatan.



Antaranya termasuk kisah mengenai karung guni, kehidupan di estet perumahan dan penggunaan ilustrasi yang menunjukkan bangunan awam seperti balai rakyat, stadium tertutup dan kompleks renang dalam buku besar.



Gambar-gambar yang menunjukkan kehadiran kepelbagaian kaum dalam masyarakat silang agama dan budaya di Singapura juga dipaparkan bagi membantu kanakkanak itu membincangkan nilai-nilai murni berkaitan dengan konteks kehidupan di sini.



"Kami dapati kurangnya bahan pengajaran tempatan di peringkat prasekolah dan hal ini mendorong kami menambah bahan pengajaran tempatan agar lebih mudah bagi kanak-kanak itu mengaitkannya dengan apa yang mereka lihat di sekeliling mereka," ujar beliau.



Tambahnya, bagi setiap tema yang diperkenalkan dalam buku besar, guru juga diberi bimbingan tentang aktiviti-aktiviti yang berkaitan.



Menerusi aktiviti-aktiviti tersebut, seperti membuat epok-epok misalnya, guru disyorkan agar menggunakan perkataan yang berkaitan dengan kegiatan berkenaan.



Ini termasuk perkataan seperti tepung, menguli dan menggoreng.



"Dengan cara ini, secara tidak langsung ia akan memperkukuh kosa kata kanak-kanak itu," tambahnya.



Buku-buku besar itu juga boleh digunakan bukan sahaja di tadika MOE, malah di kesemua prasekolah di Singapura yang menawarkan subjek Bahasa Melayu.



Pengendali utama prasekolah, rakan kongsi dan pusat prasekolah bukan memperoleh untung boleh mendapatkan buku besar itu secara percuma.



Pusat tadika komersial yang berminat pula boleh mendapatkannya daripada MOE dengan harga kos.



Laporan lanjut:






Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >