PENGENDALI pasar raya Sheng Siong telah mencatatkan keuntungan bersih $29 juta bagi suku pertama (Q1) syarikat itu berakhir 31 Mac lalu.
Keuntungan itu merupakan kenaikan 49.9 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Kenaikan itu didorong oleh faktor seperti peningkatan dalam pendapatan; margin kasar lebih tinggi; pendapatan lain yang lebih tinggi; dan kenaikan perbelanjaan operasi lebih rendah berbanding kenaikan pendapatan.
Akhbar The Business Times (BT) melaporkan pendapatan naik 30.7 peratus kepada $328.7 juta, kebanyakan didorong oleh kesan Covid-19 dan penjualan lebih baik semasa Tahun Baru Cina.
Kenaikan bagi setiap saham bagi Q1 ialah 1.91 sen, berbanding 1.29 sen bagi Q1 2019.
Tiada dividen diisytiharkan seperti tempoh yang sama setahun lalu.
Bagaimanapun, dengan keuntungan yang kukuh bagi Q1 2020, Sheng Siong berkata pekerjanya, tidak termasuk pengarah, akan diberi ganjaran sebulan gaji tambahan bagi menghargai kerja keras mereka semasa permintaan yang meningkat pada Q1.