Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lagi 10 madrasah masjid akan diurus di bawah Ilham mulai 2022

Kadir: Ilham akan uruskan 15 pusat serata negara tahun depan dengan hampir 10,000 pelajar, 200 tenaga pengajar yang meliputi 562 kelas
Dec 05, 2021 | 05:30 AM



LAGI 10 madrasah masjid yang menawarkan pendidikan Islam melalui program aLIVE akan diuruskan di bawah Pejabat Pengurusan dan Hab Pembelajaran Islam (Ilham) tahun depan.



Ini setelah fasa pertama melibatkan lima madrasah masjid yang disatukan di bawah Ilham tahun ini terbukti berjaya.



Demikian dinyatakan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen, dalam ucapannya di majlis penyampaian Anugerah Asatizah Ilham semalam.



Fasa pertama usaha pemusatan itu telah melibatkan lima pusat perintis di Masjid Al-Ansar, Masjid Al-Istighfar, Masjid Al-Taqua, Masjid Alkaff Kampung Melayu dan Masjid Darul Ghufran.



Sejumlah 179 kelas ditawarkan di lima pusat itu dan dihadiri 3,072 pelajar serta dibimbing 77 guru sepenuh masa dan sambilan.



Tahun depan, Ilham akan menguruskan 15 pusat serata negara dengan 562 kelas dan hampir 10,000 pelajar dan tenaga pengajar lebih 200 asatizah.



Bilangan pelajar yang mendaftar bagi program aLIVE tahun depan di 15 pusat itu juga telah meningkat berbanding tahun ini, dengan 89 peratus tempat kini telah diisi.



"Masjid bersatu dengan Ilham dan Muis untuk memberi sokongan kepada satu sama lain bagi memastikan Pendidikan Islam yang berkualiti tinggi diterima oleh kanak-kanak.



"Dalam tahun-tahun akan datang, kami berharap untuk mempunyai semua madrasah masjid berfungsi dalam model yang serupa di bawah pengurusan Ilham. Dan kami berharap dapat melihat objektif bersatu di bawah projek pemusatan ini mencapai hasil yang diinginkan," kata Encik Kadir.



Ilham ditubuhkan dua tahun lalu oleh Muis bagi menguruskan dan memusatkan operasi program aLIVE di masjid-masjid di sini.



Ia menyediakan pembangunan kandungan dalam pendidikan Islam yang progresif bagi program aLIVE yang disesuaikan kepada kumpulan usia berbeza.



Antara lain, ia telah menghasilkan buku aLIVE dan pakej pembelajaran dari rumah aLIVE bagi menggantikan kelas fizikal semasa pandemik Covid-19.



Selain pembangunan kandungan, Ilham juga bertujuan memastikan asatizah yang mengajar dalam program aLIVE menerima latihan yang mencukupi dan disokong dalam kerjaya mereka.



Kesemua 37 madrasah masjid yang menawarkan program aLIVE akan disatukan di bawah Ilham dalam masa beberapa tahun akan datang.



Di majlis semalam, 10 asatizah telah diberikan Anugerah Asatizah Ilham di atas penyampaian cemerlang mereka di dalam bilik darjah serta komitmen dan keprihatinan mereka terhadap pelajar.



Setiap asatizah itu menerima hadiah wang tunai $300, sijil pencapaian, plak dan surat pujian.



Encik Kadir berkata lebih 1,000 asatizah telah mengikuti latihan sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kemahiran mereka.



Ini adalah peningkatan 59 peratus berbanding tahun lalu.



Program bimbingan dan pemerhatian bilik darjah juga dijalankan secara kerap supaya asatizah dapat terus menerima sokongan dalam bilik darjah.



"Dengan semua inisiatif yang dirancang untuk asatizah kami, kami berharap ini dapat mendorong asatizah kami untuk melakukan lebih dan memastikan penyampaian pelajaran adalah pada mutu terbaik," kata Encik Kadir.




"Masjid bersatu dengan Ilham dan Muis untuk memberi sokongan kepada satu sama lain bagi memastikan Pendidikan Islam yang berkualiti tinggi diterima oleh kanak-kanak. Dalam tahun-tahun akan datang, kami berharap untuk mempunyai semua madrasah masjid berfungsi dalam model yang serupa di bawah pengurusan Ilham. Dan kami berharap dapat melihat objektif bersatu di bawah projek pemusatan ini mencapai hasil yang diinginkan."
- Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Encik Kadir Maideen.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >