LEBIH 43,900 majikan akan menerima bayaran Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) berjumlah lebih $900 juta mulai 30 September untuk menyokong gaji lebih 570,000 pekerja setempat.
Dengan bayaran terbaru ini, pemerintah telah mengagihkan lebih $27.6 bilion sejak skim tersebut diperkenalkan pada Februari tahun lalu sebagai sebahagian usaha menyokong syarikat semasa pandemik Covid-19 ini.
Ini menurut satu kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) dan Kementerian Kewangan (MOF) semalam.
Menurut kenyataan itu, majikan yang telah membuat sumbangan wajib Tabung Simpanan Pekerja (CPF) bagi pekerja setempat bagi tempoh April hingga Julai 2021 menjelang tarikh yang telah ditetapkan, akan layak menerima bayaran JSS itu.
Bayaran pada September itu akan menyokong gaji dari April hingga Julai 2021 termasuk bayaran JSS yang lebih tinggi di bawah Fasa Dua (Kewaspadaan Dipertingkat atau HA) dan Fasa Tiga (HA).
"Bayaran untuk empat bulan itu telah dipertingkat berbanding bayaran untuk tiga bulan sebelum ini bagi menyediakan sokongan aliran tunai kepada syarikat yang terjejas dengan krisis yang berlarutan ini," kata Iras dan MOF.
Tahap sokongan kepada syarikat bagi tempoh empat bulan itu berbeza mengikut sejauh mana industri terjejas. Contohnya, sektor makanan dan minuman (F&B) yang perlu ditutup semasa Fasa Dua (HA) akan meraih sokongan JSS hingga 60 peratus, manakala sektor pelancongan akan meraih sokongan hingga 40 peratus bagi tempoh tersebut.
Bayaran JSS bagi gaji yang dibayar selepas 31 Julai akan diagihkan pada Disember ini.
Majikan yang layak akan dimaklumkan mengenai jumlah bayaran mereka menerusi pos pada hujung bulan ini.
Mereka juga boleh mendaftar masuk ke myTax Portal untuk melihat salinan elektronik surat mereka.
Majikan yang telah mendaftar bagi PayNow Corporate sehingga 24 September atau mempunyai aturan Giro dengan Iras boleh menjangkakan untuk menerima bayaran JSS mereka mulai 30 September ini.
Majikan lain akan menerima cek mereka mulai 15 Oktober.
Dalam pada itu, sebanyak $23 juta bayaran bagi September itu akan ditahan daripada 500 majikan, tertakluk kepada semakan dan penghantaran dokumen sokongan kepada Iras bagi mengesahkan kelayakan mereka.
Ini di bawah usaha memastikan bayaran diagihkan dengan adil dan betul, kata Iras dan MOF.
Seramai 500 majikan ini membentuk sekitar 1.1 peratus daripada semua majikan yang layak bagi bayaran itu.
Majikan ini akan menerima bayaran setelah Iras mengesahkan ketulenan dan ketepatan maklumat yang dihantar.
"Bayaran mereka akan disesuaikan atau ditolak jika isu timbul semasa semakan itu," menurut kenyataan itu lagi.
Iras dan MOF juga mengingatkan majikan untuk membayar jumlah CPF yang betul bagi pekerja mereka, berdasarkan gaji sebenar yang dibayar. Ini sedang sumbangan CPF pekerja digunakan untuk menentukan bayaran JSS.
"Denda bagi apa-apa percubaan menyalahgunakan JSS adalah berat," kata Iras dan MOF, yang menambah bahawa penyalahguna boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, dan boleh menghadapi hukuman penjara hingga 10 tahun dan didenda.
Perniagaan atau individu yang ingin melaporkan salah laku atau potensi penyalahgunaan JSS boleh berbuat demikian menerusi e-mel di jssreport@iras.gov.sg atau secara dalam talian di go.gov.sg/jssreport.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai JSS di go.gov.sg/jss.