Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

MENJELANG RAMADAN

Lagu baru tentang zakat berkumandang Ramadan ini

Diberi judul 'Tunaikan Zakat, Kukuhkan Masyarakat', ia dihasilkan Zubir Abdullah sebagai menyokong kempen zakat anjuran Muis
May 05, 2019 | 05:30 AM



SUATU ketika dahulu, seniman tempatan Zubir Abdullah pernah hidup susah.



Masalah kesihatan yang menimpa dirinya menyebabkan beliau terpaksa berhenti bekerja sepenuh masa sebagai seorang teknisyen.



Tambahan lagi, dua anaknya turut mengalami masalah kesihatan - jantung berlubang - dan perlukan perhatian dan rawatan.



Tanpa sumber pendapatan yang tetap, kewangan keluarganya agak sempit. Beliau bergantung sepenuhnya pada hasil karya seni serta perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan isterinya dari rumah.



Namun begitu, Zubir cekal dan tabah dalam mengharungi semua cabaran itu. Kini berkat kesungguhannya untuk merubah keadaan keluarga, nasib mereka lebih baik.



Justeru apabila beliau diundang untuk menghasilkan sebuah lagu baru bagi menyokong kempen zakat anjuran Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) tahun ini, seniman tempatan itu rasa terpanggil untuk menerimanya.



Baginya, peluang menghasilkan lagu baru kempen zakat itu amat istimewa kerana menerusinya, beliau dapat berkongsi kisah kehidupannya dahulu.



"Saya berasa bersyukur, berbesar hati dan teruja untuk sama-sama menjayakan projek ini," kata Zubir.



Tambah Zubir, projek lagu tema zakat 2019 ini "cukup istimewa" kerana ia membuat beliau imbas kembali pengalaman menjadi seorang penerima zakat dari Muis beberapa tahun lalu.



"(Ia) sekali gus (membolehkan saya) menyumbang sedikit ilham dan pesanan dalam (bentuk) lagu," kata Zubir, 54 tahun.



Bertajuk Tunaikan Zakat, Kukuhkan Masyarakat, - sempena tema kempen zakat anjuran Muis - lagu baru itu menampilkan irama Melayu asli, lengkap dengan gambus dan rebana - sinonim dengan kebanyakan karya Zubir yang pernah beliau hasilkan sebelum ini.



Beliau menulis, menggubah dan menghasilkan lagu zakat itu.



Sementara itu, bakat muda tempatan, Martin Zainol, dipilih Zubir untuk menyanyikan karyanya itu.



Antara lain, kandungan lirik lagu itu menekankan betapa luasnya nikmat Tuhan, dan zakat yang dikeluarkan dengan ikhlas mampu membuat kehidupan seseorang itu menjadi berkat dan penuh nikmat.



"Dengan rasa ingin menyumbang dan ihsan kepada masyarakat, saya berpesan pada diri saya dan kepada seluruh masyarakat untuk Tunaikan Zakat, Kukuhkan Masyarakat," kata Zubir.



Dua tahun lalu, Zubir pernah menerima Anugerah Kepujian, sebuah penghormatan besar daripada Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass), bagi mengiktiraf sumbangannya kepada pembangunan muzik tempatan.



Menyifatkan anugerah tersebut "ibarat memperkasa perjuangan dua dekadnya" dalam satu laporan akhbar ini sejurus menerima anugerah tersebut ketika itu, Zubir ditukil sebagai berkata:



"Saya buat muzik kerana jiwa saya di situ."



Sejak lebih 10 tahun, setibanya bulan Ramadan, radio-radio tempatan akan mengudarakan lagu zakat yang dinyanyikan pasangan adik-beradik Nuradee.



Sepanjang tempoh tersebut, beberapa lagu tema lain turut diperkenalkan seperti Cahayamu nyanyian Rifaah 2D, dan Tangan Amal nyanyian Datuk Ramli Sarip.



Namun dendangan oleh Nuradee itu kekal di hati kebanyakan pendengar.



Timbalan Pengarah Unit Strategik Zakat dan Wakaf, Encik Masagoes Isyak Amin, berkata:



"Lirik lagu ini penuh bermakna kerana ia mengingatkan kita bahawa zakat ada salah satu tiang sokongan bagi masyarakat.



"Saya harap apabila orang ramai mendengar lagu ini, mereka akan ingat bagaimana zakat telah memberi kesan kerohanian atas diri mereka, dan menolong mereka yang memerlukan bantuan serta sokongan."



Lagu baru Zubir itu dijangka diudarakan di saluran Warna 94.2FM dan Ria 89.7FM sepanjang Ramadan ini.




SENI KATA 'TUNAIKAN ZAKAT, KUKUHKAN MASYARAKAT'



Tunaikan Zakat kukuhkan Masyarakat (x1)



Tiada terhitung buih di lautan

Begitu luasnya nikmat Tuhan,

Ikhlaskan di hati untuk berzakat

Agar mulia dunia dan akhirat (x2)



Tiada sempurna usaha dan budi

Selagi tiada ihsan di hati

Mensucikan hati mendakap keredaan

Sempurnakan rukun dan kewajipan

Tunaikan zakat kukuhkan masyarakat (x1)



Harta yang terkumpul tak dibawa mati

Tiada kan hilang nikmat memberi

Masyarakat hidup yakin dan mensyukuri

Berzakat kita terus diberkati



Tunaikan zakat kukuhkan masyarakat (x2)



Seni kata dan seni lagu: Zubir Abdullah



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >