JAWATANKUASA Penganjur Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) telah melancarkan sebuah lagu khas sempena ulang tahun ke-15 anugerah tersebut tahun ini.
Lagu berjudul Dikau Guru Arif Budiman itu ditulis oleh pengerusi bersama jawatankuasa penganjur, Encik Abdul Harris Sumardi, dan diperhalusi mantan pengerusi bersama jawatankuasa itu, Encik Tajudin Jaffar dan Encik Zafilin Abdul Hamid.
Ia disusun oleh penerima Agab 2017, Cikgu Djohan Abdul Rahman, dan Encik M Ilyia daripada Meraqi Studios.
Lagu itu dinyanyikan oleh juara pertandingan nyanyian Suara 2.0, Syah Riszuan, dan dipersembah buat kali pertama kepada orang ramai di majlis penyampaian Agab semalam.
Majlis tersebut berlangsung dalam bentuk hibrid - secara fizikal di Max Atria, Singapore Expo, dan dalam talian.
Lagu itu antara lain mengisahkan tentang nilai dan tanggungjawab seorang guru Arif Budiman serta hasrat murni seorang pendidik dan penghargaan akan sumbangannya yang tidak ternilai.
Lagu itu juga mengingatkan tentang peranan utama yang dimainkan guru sebagai tunggak masyarakat dalam usaha membentuk minda anak-anak di bangku sekolah.
Sejak 2007, 64 guru Bahasa Melayu cemerlang daripada peringkat sekolah rendah hingga maktab rendah diiktiraf dengan Agab bagi sumbangan besar mereka kepada pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.