PARA pencinta alam di Singapura kini boleh menjangkakan sebuah laluan alam semula jadi baru sepanjang 15 kilometer yang melintasi Taman East Coast dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Laluan tersebut akan diperluaskan lagi dari kawasan Taman di Persisiran Timur hingga ke Changi.
Ia bakal mendekatkan lagi penduduk dan pengunjung dengan alam semula jadi ketika mereka meneroka sepanjang laluan tersebut, yang juga akan menghubungkan mereka ke tempat menarik seperti taman terapeutik, taman permainan alam, dan kawasan hutan di taman.
Demikian umum Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataannya pada Ahad (28 Mac).
Selain itu, laluan tersebut juga akan menghubungkan kawasan taman yang telah dibangunkan semula sejak beberapa tahun yang lalu, termasuk kawasan Big Splash yang telah diperbaharui, serta bekas tapak Goldkist Chalets di Taman East Coast, yang dibangunkan semula menjadi sebuah taman basikal baru pada 2019.
“Apa yang ingin kami lakukan adalah, dari waktu ke waktu, di kawasan yang boleh kami pertingkatkan, membuat laluan baru bagi orang awam untuk lebih mendekati alam,” kata pengarah taman NParks, Encik Tan Jun Chao.
Dalam acara yang berasingan, NParks turut memperkenalkan sebuah taman permainan mesra keluarga di Taman East Coast.
Dikenali sebagai Coastal PlayGrove, taman permainan itu mempunyai keluasan 4.5 hektar dan mempunyai permainan seperti terowong gelongsor dan kawasan permainan air.
Taman tersebut telah dibuka secara rasmi oleh Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong, Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee serta Anggota Parlimen (AP) Mountbatten, Lim Biow Chuan. Sempena pelancaran tersebut, mereka telah menanam pokok bayu di kawasan itu.
Encik Lee berkata pembukaan Coastal PlayGrove menandakan selesainya kerja pembangunan semula untuk Taman East Coast Park, yang diumumkan pada 2017.
Ia terletak di bekas tapak Big Splash dan menempatkan menara taman permainan air itu yang dibina semula.
“Kami memulakan usaha kami untuk membangunkan semula taman terbesar dan yang paling popular, untuk menyediakan warga Singapura dengan pelbagai peluang rekreasi,” ujarnya.