PENGUNJUNG yang ingin berlari anak atau berbasikal ke Lapangan Terbang Changi kini boleh menggunakan laluan baru yang dibuka Ahad (11 Oktober).
Laluan 3.5 kilometer yang menghubungkan Lapangan Terbang Changi dan Taman East Coast itu mempunyai tarikan istimewa dengan lebih 20 patung dinosaur ‘menemani’ pengunjung sepanjang laluan itu.
Prasarana baru juga disediakan, termasuk pondok sewa basikal, tempat mandi, dan juga kafe.
Menurut kenyataan Kumpulan Changi Airport (CAG), laluan baru itu menawarkan jalan alternatif untuk ke Lapangan Terbang Changi dan merupakan aktiviti rekreasi baru untuk warga Singapura.
Laluan Penghubung Lapangan Terbang Changi itu turut terhubung kepada rangkaian laluan di timur termasuk Taman Pantai Changi dan Kolam Air Bedok.