PENDUDUK tujuh estet perumahan di daerah timur dan timur laut Singapura akan mendapat akses kepada laluan berbasikal baru di kejiranan mereka mulai 2024, sedang Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) meneruskan rancangannya untuk menggandakan rangkaian berbasikal sedia ada di sini dari 530 kilometer (km) kepada 1,300 km menjelang 2030.
Dalam satu kenyataan semalam, LTA berkata ia telah meminta tender bagi pembinaan laluan berbasikal baru sekitar 55 km di Geylang, Hougang, Kaki Bukit, Marine Parade, Potong Pasir, Sengkang dan Serangoon.
Laluan baru ini, yang akan disiapkan secara bertahap mulai 2024, akan menghubungkan penduduk ke kemudahan utama, seperti pusat pengangkutan dan sekolah, dan memperbaiki sambungan berbasikal antara bandar, kata penguasa itu.
LTA berkata ia juga akan membina lebih banyak prasarana sokongan, seperti kemudahan tempat meletak basikal, lintasan basikal, tanjakan dan papan peta.
Contohnya, penguasa itu sedang menyarankan untuk membina jambatan berbasikal baru merentas Lebuhraya Tampines di Sengkang, menghubungkan stesen MRT Punggol dengan Sengkang Sculpture Park.
Lagi 3,000 tempat meletak basikal juga akan ditambahkan ke stesen MRT di sini menjelang 2025, kata LTA. Ini di samping 254,000 ruang meletak basikal serata pulau ini sekarang.
Pembinaan laluan berbasikal baru itu akan melibatkan laluan berjalan kaki sedia ada di tujuh bandar itu untuk diluaskan bagi mewujudkan lebih ruang bagi berjalan kaki dan berbasikal, kata LTA.
Memandangkan estet-estet itu matang, sebahagian ruang jalan raya sedia ada mungkin diubah semula, dan kemudahan seperti longkang dan perhentian bas mungkin dialihkan untuk memberi ruang bagi laluan berbasikal baru, tambah LTA.
Penguasa berkata ia akan bekerjasama rapat dengan agensi lain untuk menilai kebolehlaksanaan teknikal perubahan ini dan mendekati pihak berkepentingan relevan yang lain dari awal.
Apabila rancangan 2030 direalisasikan, LTA menjangka lapan dalam 10 penduduk perumahan awam hanya berada dalam jarak beberapa minit sahaja dengan rangkaian laluan berbasikal terdekat mereka.
Pembinaan laluan berbasikal baru di tujuh bandar itu menyusuli kajian lalu lintas yang dijalankan LTA pada 2021 untuk menilai sama ada bahagian lebih 20 jalan raya di daerah timur dan timur laut pulau ini boleh ditebus guna dan dijadikan laluan berbasikal.
Kajian itu mengambil kira bahagian di sepanjang jalan raya yang banyak digunakan seperti Aljunied Road, Braddell Road, Upper Serangoon Road, Upper Paya Lebar Road dan MacPherson Road.
LTA juga telah mendapatkan perkhidmatan perundingan kejuruteraan untuk mereka laluan berbasikal baru sepanjang 158.9 km serta prasarana berkaitan di sektor timur Singapura, dengan pembinaan laluan ini dijalankan dalam tiga fasa sehingga 2030.