MEREKA ligat bersenam bersama iringan muzik rancak di awal pagi.
Meskipun di bawah teriknya sinar matahari dan peluh membasahi diri, sebahagian peserta yang memulakan 'Laluan Harmoni' dari Masjid Yusof Ishak semalam, terus mengorak langkah meneruskan perjalanan 2.2 kilometer yang mengambil masa setengah jam untuk sampai ke destinasi.
Sebahagian daripada mereka membawa beg berisi barangan dapur.
Mungkin ekoran keletihan, ada yang malah tidak membawa beg tersebut secara sendirian.
Beg berisi barangan bernilai $50 itu dijinjing bersama dengan yang lain - sekali gus mencerminkan sifat saling membantu - untuk membawa keceriaan kepada keluarga kurang bernasib baik yang tinggal di rumah sewa di Champions Way.
Itulah yang dilakukan sekitar 300 peserta daripada enam kelompok masjid, kalangan belia, sukarelawan serta penggiat akar umbi yang menyertai laluan bersempena Hari Yayasan Rahmatan lil 'Alamin (RLA) 2017 - satu acara tahunan bagi melahirkan sifat keihsanan kepada yang memerlukan.
Sekitar 100 hamper makanan diagihkan semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Hari RLA, Haji Paiman Supangat, berkata: "Perjalanan ke flat di Champions Way hari ini melambangkan komitmen masjid mahu menjadi penggerak positif yang penting bagi membangun masyarakat kukuh di sini."
Acara tersebut turut menyaksikan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang juga Menteri Perhubungan dan Penerangan, Dr Yaacob Ibrahim, menanam pokok di hadapan Masjid Yusof Ishak, lambang keihsanan dalam membantu memperindah dan membangun ruang hijau untuk dinikmati semua.
Laporan lain: Yaacob: Masjid kini tumpuan negara, masyarakat sebar sifat rahmah