Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Laluan pengajian hampir sedekad berbaloi setelah raih ijazah

Korban masa bersama keluarga demi capai impian untuk menjadi ahli kimia
Jun 11, 2021 | 05:30 AM



MESKIPUN kecewa dengan keputusan peperiksaan peringkat 'A' yang diterimanya, Cik Suhana Saad sedar beliau perlu bangkit mencari laluan alternatif bagi mencapai impiannya untuk menjadi seorang pakar kimia.



Oleh kerana tidak dapat memasuki kursus pilihannya di universiti, beliau merancang dengan teliti tangga yang perlu didaki, langsung memutuskan untuk menjalani kursus Kejuruteraan Kimia di Politeknik Temasek.



Biarpun sedar laluan yang dipilih ini lebih jauh, Cik Suhana, yang telah bekerja keras untuk ke maktab rendah dari aliran Normal Akademik di sekolah menengah, sedar beliau memiliki daya tahan dan kesungguhan yang membolehkannya mencapai matlamat yang disasarkan.



Selepas tamat tiga tahun di politeknik, Cik Suhana sekali lagi mengambil keputusan tidak konvensional dan memilih untuk menjalani program Sarjana Muda Teknologi (BTech) dalam Kejuruteraan Kimia secara sambilan di Universiti Nasional Singapura (NUS) selama empat tahun sambil menimba pengalaman bekerja.



Beliau sedar pilihannya untuk mengimbangi kededua pengajian dan pekerjaan lebih mencabar dan memerlukan disiplin tinggi, namun Cik Suhana akur pengalaman bekerja dititikberatkan majikan dalam konteks hari ini.



Meskipun sudah mendirikan rumah tangga pada masa itu, beliau cukup menghargai sokongan keluarga terutama sekali suaminya yang memberi galakan kepadanya untuk merealisasikan impiannya.



Oleh kerana suaminya juga pernah menjalani program diploma sambilan di Politeknik Singapura (SP) sambil bekerja sepenuh masa, beliau dapat memberikan tips serta panduan kepada Cik Suhana dalam mengharungi tempoh mencabar itu.



"Keluarga saya membentuk sistem sokongan yang besar dan memainkan peranan penting dalam membantu saya mengimbangi tanggungjawab di tempat kerja dan juga sebagai pelajar.



"Banyak kali saya tidak dapat hadir untuk perhimpunan atau acara istimewa keluarga kerana perlu utamakan peperiksaan atau kelas, untuk itu masa dengan keluarga memang terhad," ujarnya yang kini berusia 31 tahun.



Berbanding dua semester setiap tahun bagi program ijazah sepenuh masa, Cik Suhana perlu menjalani tiga semester setiap tahun dan semester pertama dan kedua berterusan tanpa tempoh rehat.



Menurutnya, cabaran utama yang dihadapi adalah masa; selepas bekerja dari 5 pagi hingga 4.30 petang, beliau perlu menghadiri kelas empat hari seminggu dari 6 petang hingga 9.30 malam dan biasanya akan sampai rumah pada jam 11 malam. Ini selain menghadiri kelas tambahan pada hujung minggu untuk modul tertentu.



"Pengurusan masa yang baik memang kritikal, kerana jika tidak dilakukan dengan baik, ia mungkin memberikan saya tekanan yang berlebihan," katanya.



Perjalanan akademiknya mungkin lebih berliku dengan selok-belok tambahan berbanding pelajar lain, namun ia tetap membawanya ke arah matlamat yang diimpikan.



Cik Suhana berjaya meraih ijazah sarjana muda dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Kini beliau bekerja sebagai pakar kimia profesional dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan cukup gembira dengan pencapaiannya yang telah diimpikan selama lebih sedekad.



Pegangannya dalam hidup untuk "terus maju ke hadapan" dan berusaha untuk mencari strategi alternatif bagi mencapai matlamat merupakan motivasi utama yang memacu beliau ke arah kejayaan.



"Satu nasihat yang saya akan berikan kepada diri saya yang lebih muda, adalah untuk tidak berhenti meneroka semua kemungkinan dan peluang yang tersedia," ujarnya.




"Keluarga saya membentuk sistem sokongan yang besar dan memainkan peranan penting dalam membantu saya mengimbangi tanggungjawab di tempat kerja dan juga sebagai pelajar. Banyak kali saya tidak dapat hadir untuk perhimpunan atau acara istimewa keluarga kerana perlu utamakan peperiksaan atau kelas, untuk itu masa dengan keluarga memang terhad."
- Cik Suhana Saad.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >