Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

SEKITAR RAMADAN

Lalui bulan suci di dormitori

Keadaan jauh lebih baik dari Ramadan tahun lalu
Apr 25, 2021 | 05:30 AM



APABILA pulang ke dormitorinya dari tempat kerja, Encik Nadim Dowlat Gazi terus pergi mengambil bubur untuk dirinya dan juga rakan-rakannya berbuka puasa bersama di bilik mereka.



Setelah mengerjakan solat maghrib di bilik sendiri, mereka bersiap sedia pula untuk solat isyak dan tarawih secara berjemaah di ruang yang disediakan di gelanggang bola keranjang di dormitori mereka.



Kegiatan Ramadan seperti solat tarawih secara berjemaah merupakan satu amalan yang lazimnya dilakukan masyarakat Islam sepanjang bulan suci nan murni ini setiap tahun.



Namun, hanya sekitar setahun lalu, kegiatan seperti itu tidak dapat dilihat, malah, tidak dibenar untuk diadakan dek Covid-19.



Menyingkap keadaan menyedihkan itu tahun lalu, Encik Nadim, seorang pekerja migran dari Bangladesh, berkata sambutan Ramadannya tahun lalu terhad kepada empat dinding bersama rakan-rakan sebilik kerana mereka tidak dibenarkan keluar.



"Tahun lalu, berbanding tahun ini, kami berada dalam tempoh pemutus litar. Jadi, kami tidak dapat keluar dan bertemu dengan kawan-kawan dan sebagainya. Kami tidak ada pilihan selain duduk di dalam bilik dan kami solat dalam bilik masing-masing secara individu. Ia agak sukar bagi kami," kata beliau.



Encik Nadim, 34 tahun, seorang pekerja dalam sektor penyenggaraan proses dan sudah bekerja di Singapura selama 14 tahun.



Baru-baru ini, Berita Harian mengunjungi dormitori beliau di Choa Chu Kang Grove untuk menyaksikan keadaan sambutan Ramadan pekerja migran Islam di sana.



Dek kes Covid-19 yang memuncak pada sekitar April tahun lalu tatkala Ramadan juga sedang berlangsung, Singapura memasuki tempoh pemutus litar yang memerlukan langkah-langkah keselamatan dan jarak selamat yang ketat dilaksanakan untuk membendung pandemik itu.



Bagi umat Islam, ini bermakna kegiatan Ramadan seperti berbuka puasa dan solat tarawih di masjid ditiadakan kerana rumah ibadah terpaksa ditutup, dan masyarakat diajak menunaikan amalan dan ibadah bulan puasa bersama keluarga masing-masing di rumah.



Keadaan pemutus litar itu lebih pahit bagi pekerja migran di Singapura, memandangkan sebahagian besar kes Covid-19 pada ketika itu melibatkan golongan tersebut.



Mereka tidak dibenarkan keluar dari dormitori, dan pergerakan serta kegiatan di dalam tempat tinggal mereka juga dikawal ketat.



Namun, keadaan hari ini jauh berbeza dan lebih baik dari sekitar setahun yang lalu.



Walaupun pergerakan mereka masih lagi dikawal, pekerja migran kini boleh keluar bekerja dan banyak langkah-langkah jarak selamat di dalam dormitori mereka juga telah dilonggarkan.



Malah, baru-baru ini, Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengumumkan dormitori dibenarkan mengadakan dua sesi solat berjemaah untuk hingga 200 orang sepanjang Ramadan ini, dengan langkah-langkah pengurusan selamat seperti menggunakan pelitup dan jarak satu meter antara setiap jemaah dilaksanakan.



Menjawab pertanyaan BH, jurucakap MOM berkata sejauh ini, 17 dormitori besar dengan imam yang telah diluluskan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah memohon untuk mengadakan solat berjemaah.



"Kami telah bekerjasama dengan dormitori untuk melaksanakan pelan pengurusan selamat yang diperlukan, termasuk langkah jarak selamat dan mengehadkan jumlah jemaah di setiap tapak demi memastikan keselamatan penghuni Muslim," kata jurucakap itu.



Di dormitori di Choa Chu Kang Grove yang didiami Encik Nadim, dua sesi solat berjemaah dengan sehingga 50 orang setiap sesi diadakan setiap hari bagi solat isyak dan tarawih.



Juadah berbuka puasa biasanya disediakan majikan mereka dan terdapat juga pihak lain, seperti masjid misalnya yang mendermakan bubur kepada pekerja tersebut, yang boleh mereka nikmati bersama rakan-rakan di dalam dormitori.



Melahirkan kesyukurannya, Encik Nadim berkata beliau rasa gembira dapat menyambut Ramadan bersama rakan-rakannya tahun ini walaupun ia tidak semeriah tahun-tahun sebelum Covid-19 melanda.



"Sekarang, kami sudah dapat suntikan vaksin. Kami boleh solat dalam kumpulan kecil bersama, dan juga berjumpa dengan kawan-kawan yang tinggal di dormitori yang sama. Ia perbezaan besar dari tahun yang lalu.



"Tentu sekali, kami rasa sangat gembira sebab tahun lalu, ia sangat menyedihkan. (Tahun lalu) fikiran kami pun seperti tidak boleh berfikir lagi, tetapi tahun ini lebih baik sebab kami dapat luangkan masa dengan rakan-rakan," kata beliau.



Ramadan kali ini juga lebih manis dan istimewa bagi Encik Nadim kerana beliau antara empat individu di dormitorinya yang telah diluluskan Muis sebagai imam untuk memimpin solat berjemaah.



"Saya berharap Ramadan kali ini akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Kami tetap perlu gunakan pelitup dan amalkan jarak selamat tetapi kami berharap keadaan akan bertambah lebih baik lagi supaya kami juga dapat keluar bersama rakan-rakan.



"Sebagai seorang Muslim, Alhamdulillah, saya dapat menyambut Ramadan tahun ini dengan berkat Allah. Kami sangat bersyukur kepada Allah kerana memberikan kami kesihatan dan melindungi kami," kata beliau.



Rakan beliau, Encik Hasan Najmul, 38 tahun, turut melahirkan perasaan gembira dapat makan dan solat bersama rakan-rakannya di dormitori semasa bulan murni ini.



"Ramadan tahun lalu, kami tidak boleh keluar bilik. Hanya boleh solat di dalam bilik. Kini, kami boleh keluar dan solat bersama. Saya rasa gembira sebab saya dapat jumpa rakan-rakan tetapi kami semua tetap ikut peraturan pemerintah, seperti pakai pelitup dan jaga jarak selamat," kata pekerja penyenggaraan proses dari Bangladesh itu.



Seorang lagi pekerja dari Bangladesh di dormitori itu, Encik Hossaini Dinar, 31 tahun, juga tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya.



"Saya rasa beruntung sangat dan sangat gembira Ramadan ini kerana kami dapat solat berjemaah walaupun perlu kekalkan jarak satu meter antara satu sama lain," katanya, yang bekerja dalam sektor penyenggaraan elektrik.



Jurucakap MOM berkata mereka sedar bahawa solat berjemaah merupakan ibadah penting bagi masyarakat Islam.



"Oleh sebab kes dalam dormitori dan masyarakat kekal rendah, MOM telah bekerjasama dengan Muis untuk membenarkan pengendali dormitori mengadakan solat berjemaah di dalam dormitori semasa bulan Ramadan.



"Berbanding setahun lalu apabila pekerja migran Islam hanya boleh solat di dalam bilik masing-masing, membenarkan solat berjemaah adalah detik penting dalam kelonggaran sekatan secara bertahap-tahap," kata jurucakap itu.




KERJASAMA MOM DENGAN PENGURUS DORMITORI



"Kami telah bekerjasama dengan dormitori untuk melaksanakan pelan pengurusan selamat yang diperlukan, termasuk langkah jarak selamat dan mengehadkan jumlah jemaah di setiap tapak demi memastikan keselamatan penghuni Muslim."




MOM SEDAR PENTINGNYA SOLAT JEMAAH BAGI MASYARAKAT ISLAM



"Oleh sebab kes dalam dormitori dan masyarakat kekal rendah, MOM telah bekerjasama dengan Muis untuk membenarkan pengendali dormitori mengadakan solat berjemaah di dalam dormitori semasa bulan Ramadan.

Berbanding setahun lalu apabila pekerja migran Islam hanya boleh solat di dalam bilik masing-masing, membenarkan solat berjemaah adalah detik penting dalam kelonggaran sekatan secara bertahap-tahap."

- Jurucakap Kementerian Tenaga Manusia (MOM).




KELONGGARAN RAMADAN INI



Dalam setahun yang lalu, kita telah lihat terdapat beberapa kelonggaran yang diberikan kepada pekerja migran kita...

Hari ini, alhamdullilah, kita dapat bersama mereka untuk bersahur, mereka dapat makan bersama dan juga buat Ramadan ini, mereka dapat solat bersama. Ini adalah perkembangan yang baru di dormitori kami.

- Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan) Encik Zaqy Mohamad, ketika mengunjungi dormitori QBD@CCK Grove baru-baru ini.




GEMBIRA DALAM JUMPA KAWAN SATU DORMITORI



''Sekarang, kami sudah dapat suntikan vaksin. Kami boleh solat dalam kumpulan kecil bersama, dan juga berjumpa dengan kawan-kawan yang tinggal di dormitori yang sama. Ia perbezaan besar dari tahun yang lalu.

Tentu sekali, kami rasa sangat gembira sebab tahun lalu, ia sangat menyedihkan. (Tahun lalu) fikiran kami pun seperti tidak boleh berfikir lagi, tetapi tahun ini lebih baik sebab kami dapat luangkan masa dengan rakan-rakan.''

- Encik Nadim, 34 tahun, pekerja migran dari Bangladesh yang bertugas dalam sektor penyenggaraan proses dan sudah bekerja di Singapura selama 14 tahun. Beliau antara empat individu di dormitorinya yang dilulus Muis sebagai imam bagi memimpin solat berjemaah.




PAKAI PELITUP, JAGA JARAK SELAMAT WALAU KINI DIBENAR KELUAR



''Ramadan tahun lalu, kami tidak boleh keluar bilik. Hanya boleh solat di dalam bilik. Kini, kami boleh keluar dan solat bersama.

Saya rasa gembira sebab saya dapat jumpa rakan-rakan tetapi kami semua tetap ikut peraturan pemerintah, seperti pakai pelitup dan jaga jarak selamat.''

- Encik Hasan Najmul, 38 tahun, pekerja penyenggaraan proses dari Bangladesh.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >