Lama di flat sewa, kini beraya di flat sendiri

BAGI Encik Asmantho Mohamed sekeluarga, Hari Raya lazimnya disambut dengan sederhana di flat sewa mereka selama tujuh tahun lalu.

Tetapi tahun ini, buat pertama kalinya keluarga lima beranak itu akhirnya berpeluang menyambut Syawal dengan lebih meriah di rumah mereka sendiri.

Tahun lalu, keluarga itu berpindah ke flat tiga bilik mereka di Woodlands Avenue 6 dari flat sewa dua bilik mereka di Champions Way (Woodlands).

Encik Asmantho, 34 tahun dan isterinya, Cik Nirsya Mohamad Karim, 32 tahun, berjaya membeli flat di bawah Penjualan Baki Flat (SBF) itu pada pada harga sekitar $162,000, dengan sokongan geran berjumlah $60,000.

Menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) kepada Berita Harian, lebih 3,000 penghuni flat sewa telah membeli flat BTO atau SBF sebagai pembeli pertama kali sejak 2013.

Kira-kira 8 daripada 10 mereka membeli flat dengan bantuan Geran Perumahan Tambahan CPF (AHG) dan/atau Geran Perumahan Khas CPF (SHG).

Di kalangan itu, 109 menerima geran nilai maksimum AHG dan SHG sebanyak $80,000.

"Pada suku pertama tahun ini, terdapat lebih 100 penyewa flat sewa yang sudah menempah flat BTO atau SBF, sebagai pembeli rumah pertama kali," jelas HDB.

Kegembiraan Encik Asmantho mendapat rumah sendiri amat jelas apabila dihubungi.

"Tentunya beraya di rumah sendiri lebih menggembirakan daripada di rumah sewa. Kami tidak putus-putus berharap mendapatkan rumah sendiri sejak berumahtangga 10 tahun, yang mana tujuh tahun kami tinggal di rumah sewa," ujar Encik Asmantho, seorang pekerja pembersihan dan pemandu.

Kali pertama pasangan itu berusaha mendapatkan flat Bina Mengikut Tempahan (BTO) ialah pada 2010, tetapi dana Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka tidak cukup.

Percubaan kali kedua pula adalah pada 2012.

"Kami berhasil mendapat flat dan sudah bayar deposit $2,000. Tetapi pada hari temujanji dengan HDB, saya sakit kerana masalah slip disc dan tidak dapat hadir. Pegawainya pula gagal dihubungi lalu saya terlepas peluang membeli rumah," ceritanya.

Sikap tidak putus asa pasangan itu akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berpeluang membeli flat di bawah SBF, pada 2015.

"Dulu kalau Raya, rumah kami hias ala kadar sahaja dan tidaklah cantik sangat. Namun, bila di rumah sendiri, tentunya berlainan. Paling utama, kami memasang lampu lap-lip sebab sebelum ini tidak pernah pasang di rumah sewa kami," ujar Encik Asmantho.

Beliau juga lega mendapat flat yang mempunyai ruang tambahan agar ibunya selesa bila datang tinggal bersamanya.

Laporan lain: Impian beraya di rumah sendiri jadi nyata Syawal ini

Waktu Solat

Subuh
5:37
Syuruk
7:01
Zuhur
1:08
Asar
4:33
Maghrib
7:13
Isyak
8:28
3 HR PSI: 33
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.