Laman All Singapore Stuff mohon maaf atas dakwaan tidak berasas oleh penyumbang artikel tidak kenali

LAMAN web berita alternatif, All Singapore Stuff, mengeluarkan kenyataan memohon maaf pada Khamis (2 Mac) berhubung satu artikel yang diterbitkan dalam talian, selepas polis menjelaskan bahawa dakwaan dalam artikel itu tidak benar.

Laman ini juga menarik keluar artikel yang disiarkan di talian pada Rabu. Ia menambah bahawa ia "mungkin satu percubaan berniat jahat untuk sabotaj mangsa sebenar kes ini".

Artikel berkenaan kononnya ditulis oleh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang menyatakan beliau menjadi tertekan apabila seorang budak lelaki beliau "ditipu" melakukan hubungan seks pada usia 14 merupakan rakan sekolahnya.

Cerita itu menyertakan sebilangan laporan polis yang didakwa telah difailkan ketika itu, walaupun dia menyatakan polis tidak mengambil tindakan dan menasihatkannya menggugurkan kes itu.

Menjawab pertanyaan pada Rabu, polis memberitahu The Straits Times bahawa walaupun laporan di bawah nombor berkenaan wujud, ini kelihatan bukan laporan yang dibuat oleh penyumbang artikel dalam talian itu.

Seorang jurucakap berkata: "Satu laporan polis telah dibuat oleh orang awam, dengan identitinya dipercayai telah disalahguna sebagai penyumbang artikel."

Menyiarkan kenyataan penuh polis di laman Facebook dan laman web, All Singapore Stuff berkata ia "ingin memohon maaf kepada SPF (Pasukan Polis Singapura) terhadap sebarang tuduhan tidak berasas yang dibuat terhadap mereka kerana ia tidak disengajakan".

Tujuan utama ialah membantu penyumbang mendapatkan bantuan daripada pihak berkuasa yang berkaitan menyelesaikan kes buli yang dia hadapi di sekolah, katanya.

All Singapore Stuff berkata artikel itu disumbang tanpa nama, "mungkin bagi melindungi identiti pemberi maklumat berkenaan".

Maka itu laman tersebut tidak mempunyai sebarang butir penyumbang, katanya.

Laman web itu menggesa para penyumbangnya supaya menghantar rasa tidak puas hati tulen dan menyediakan bukti menyokong dakwaan mereka. - ST