Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Laman dilancar bagi permudah derma kepada madrasah

Muis: Dana keseluruhan dikumpul madrasah tahun ini kurang $2.5j berbanding sebelumnya akibat pandemik
Dec 05, 2020 | 05:30 AM



PIHAK awam kini boleh menderma kepada semua enam madrasah sepenuh masa di Singapura melalui laman web tunggal, sebahagian usaha mempertingkat sokongan bagi usaha mengumpul dana yang terjejas akibat pandemik Covid-19.



Laman ourmadrasah.sg yang dilancarkan semalam itu memberi pilihan kepada penderma untuk menderma kepada madrasah tertentu atau membuat derma secara serentak kepada semua madrasah.



Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), dana keseluruhan yang dikumpulkan oleh madrasah tahun ini kurang $2.5 juta berbanding tahun-tahun sebelumnya, kata Majlis Ugama Islam Singapura (Muis).



Ini selepas usaha mengumpul dana secara fizikal terpaksa ditangguh atau dibatal kerana langkah jarak selamat bagi mengekang penularan Covid-19.



"Langkah jarak selamat yang dikuatkuasakan juga membuatkannya lebih sukar bagi penderma untuk datang secara fizikal untuk membuat sumbangan kepada madrasah," kata Muis dalam kenyataannya.



Pada masa yang sama, kos operasi madrasah telah bertambah, antaranya untuk keperluan kerja-kerja pembersihan yang lebih kerap di madrasah, kata Muis.



Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berkata beliau berbesar hati kerana Muis telah bekerjasama rapat dengan madrasah untuk membangun platform mengumpul derma yang memudahkan masyarakat menyokong usaha madrasah.



"Pandemik Covid-19 telah menunjukkan betapa pentingnya peranan asatizah dalam memberikan bimbingan agama dalam sekitaran baru yang mencabar ini," kata Encik Masagos yang menambah bahawa pencapaian dan kemajuan madrasah juga akan ditunjukkan melalui laman web itu.



Dalam kenyataannya, Muis berkata sebagai sekolah privet, madrasah bergantung pada sokongan dana masyarakat untuk melakukan demikian.



Ini termasuk melalui yuran sekolah dan sumber lain seperti Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF), Baitulmal, Zakat, Dana Madrasah, Wakaf Ilmu dan dana pemerintah.



Disebabkan cabaran Covid-19, pihak madrasah juga telah memanfaatkan Skim Bantuan Pekerjaan (JSS) dan skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) untuk membantu membayar gaji kakitangan madrasah.



Dalam pada itu, Encik Masagos turut menekankan peranan penting madrasah dalam membangunkan asatizah yang memahami keperluan masyarakat Melayu Islam dalam negara berbilang agama dan kaum.



Encik Masagos berkata, keadaan ini berbeza daripada keadaan di negara lain yang mempunyai masyarakat Muslim minoriti.



"Ramai lulusan madrasah kita menyumbang kepada masyarakat dengan memberi kepimpinan agama yang sesuai dengan konteks Singapura. Kini, mereka memegang pucuk pimpinan tertinggi di institusi-institusi agama kita," tulisnya dalam pos di Facebook.



Laman web baru itu menerima derma menerusi kad kredit atau debit, eNETS serta PayNow. Bayaran Giro juga diterima bagi menggalak derma berulang.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >