Laman Facebook palsu NUSSU beri tanggapan mengelirukan tentang kenyataan Shanmugam

 

 

SATU pos oleh laman Facebook NUSSU – NUS Students United (NSU) telah menukil Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K. Shanmugam secara mengelirukan untuk memberi tanggapan palsu tentang apa yang beliau sebenarnya ucapkan.

Berkata demikian menerusi satu kenyataan hari ini (22 Nov), Setiausaha Akhbar kepada Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik Goh Chour Thong, berkata pihak di sebalik laman Facebook itu bertujuan menyebarkan rasa benci dan menimbulkan perbalahan.

Pos di laman Facebook pada 17 November 2019 itu menukil Encik Shanmugam sebagai berkata:

“Jika kita tidak mengasingkan agama daripada politik, agama siapakah yang akan memasuki politik?”

Pos itu turut menyatakan bahawa jika Cik Rachel Ong, seorang anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP), ingin bertanding dalam pilihan raya, beliau harus meletak jawatan daripada semua jawatan eksekutif di ROHEI, sebuah badan yang mempunyai kecenderungan agama.

Ini bercanggah dengan apa yang dikatakan Encik Shanmugam, ujar Encik Goh.

Tambahnya, Encik Shanmugam bahkan berkata Anggota Parlimen, termasuk Menteri, boleh memegang jawatan dalam pertubuhan agama.

Encik Goh turut menarik perhatian bahawa pos Facebook NSU itu menukil sebahagian ucapan Perdana Menteri Pengasas Lee Kuan Yew di Rapat Hari Kebangsaan 1987 dan mengambilnya di luar konteks.

Menurut pos itu, Encik Lee bertujuan mengatakan bahawa pemimpin agama tidak mempunyai hak politik.

Namun sebenarnya, Encik Goh berkata Encik Lee bermaksud untuk mengatakan bahawa pemimpin agama yang ingin membuat kenyataan politik tidak harus melakukan demikian sebagai pemimpin agama.

Sebaliknya, mereka harus memasuki gelanggang politik sebagai ahli politik dan memberi pandangan mereka.

Encik Goh juga berkata walaupun Singapura negara sekular, ia bukan anti agama.

Dalam pada itu, Encik Goh menarik perhatian bahawa laman Facebook NUSSU – NUS Students United bukan laman rasmi Kesatuan Pelajar Universiti Nasional Singapura (NUS) atau mempunyai kaitan dengannya.