Laman web Palang Merah Singapura digodam

SEBAHAGIAN laman web Palang Merah Singapura (SRC) telah dicerobohi pada 8 Mei lalu, kata SRC menerusi satu kenyataan hari ini (16 Mei).

Bahagian yang terjejas itu termasuk bahagian yang merekrut orang ramai yang berminat menderma darah.

Menerusi laman web itu, orang ramai boleh mendaftarkan minat mereka untuk menderma darah. SRC kemudian membuat janji temu bagi pihak mereka berdasarkan waktu dan tarikh yang mereka pilih.

Butiran peribadi 4,297 individu yang telah mendaftar minat mereka di laman web itu telah diakses.

Ini termasuk nama, nombor telefon, e-mel, jenis darah, waktu dan tarikh janji temu pilihan mereka serta lokasi pilihan mereka untuk menderma darah.

Selepas mendapat tahu tentang pencerobohan itu, SRC membuat laporan polis pada hari yang sama.

Siasatan polis sedang dijalankan.