Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

JURURAWAT DIIZIN PAKAI TUDUNG

Langkah izin pakai tudung beri pilihan pada jururawat Muslim

Aug 30, 2021 | 05:30 AM



LANGKAH membenarkan jururawat Islam memakai tudung semasa bertugas ialah satu perubahan yang sudah lama dinanti-nantikan untuk memberi pilihan kepada mereka yang ingin melakukannya, kata beberapa pemimpin masyarakat, wakil kesatuan dan asatizah yang dihubungi Berita Harian.



Pada masa yang sama, ada juga yang menekankan bahawa perubahan itu bertujuan memberi pilihan, dan bukan tekanan kepada wanita Islam, khususnya mereka yang belum bersedia memakainya atau memilih untuk tidak berbuat demikian.



Sedang perubahan ini menunjukkan terdapat kemajuan dalam persefahaman kaum di Singapura, usaha memupuk keharmonian antara agama perlu diteruskan, kata mereka.



Perubahan mengenai dasar tudung diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapannya di Rapat Hari Kebangsaan semalam.



Mulai 1 November, Kementerian Kesihatan (MOH) akan menyemak dasar seragam dalam sektor penjagaan kesihatan awam untuk membenarkan kakitangan Muslim, termasuk jururawat, untuk memakai tudung sebagai tambahan kepada seragam mereka, jika mereka ingin berbuat demikian.



Mengalu-alukan perubahan itu, Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang, Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, berkata perubahan tersebut meluaskan lagi bidang pekerjaan untuk wanita dan anak perempuan Melayu/Islam.



"Ini bukan sahaja mencerminkan penerimaan dan persefahaman kaum yang meningkat dalam negara kita tetapi ia juga mengiktiraf peranan wanita yang penting dalam tenaga kerja kita, tidak kira bangsa atau agama. Ini terutamanya dalam bidang kesihatan, apatah lagi dalam situasi pandemik ini," ujarnya.



Katanya lagi, memandang isu yang berkaitan dengan bangsa dan agama amat sensitif, ia perlu dilakukan secara berhemah dan dengan kerjasama rapat semua pihak.



"Tidak kira apa pun perubahan dasar pemerintah kini atau pada masa akan datang, saya berharap masyarakat kita akan memegang teguh pada kepercayaan bahawa potensi kita sebagai satu masyarakat tidak bergantung pada keterampilan atau warna kulit kita, tetapi ia hanya terbatas dengan kemampuan dan ketekunan kita dalam meningkatkan kelayakan pekerjaan dan kemahiran masyarakat kita," ujarnya.



Anggota Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Cik Rahayu Mohamad, pula menghargai perubahan itu yang memberi peluang kepada pekerja penjagaan kesihatan Muslim pilihan untuk memakai tudung.



"Perlu ada usaha yang berterusan untuk terlibat dalam perbincangan secara sivik dan hormat antara warga mengenai bagaimana rupa masyarakat Singapura yang ideal dan inklusif, yang menitikberatkan keharmonian sosial dalam masyarakat yang sepadu.



"Sebagai masyarakat Islam, kita menjunjung nilai dan prinsip Rahmatan lil Alamin (rahmat kepada semua) dan menghargai keharmonian agama yang kita miliki. Kita harus menjadi contoh yang terbaik kepada semua masyarakat, ketika kita melaksanakan kewajipan agama kita, dan ketika kita berusaha untuk saling memahami tentang nilai, tradisi dan norma agama kita dengan orang lain," ujar Cik Rahayu, yang juga bekas Presiden Persatuan Pemuda Pemudi Islam Singapura (PPIS).



Setiausaha cawangan Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU) di Hospital Universiti Nasional (NUH), Cik Rohana Ismail, berkata pembaharuan itu tetap memberi peluang kepada pekerja untuk membuat pilihan.



Mereka boleh memakai tudung jika itu yang mereka inginkan, tetapi jika tidak mahu, tidak dipaksa.



"Kami berharap ia memberi peluang kepada lebih ramai untuk menceburi bidang kesihatan ini. Sebilangan ada rasa kurang senang kerana tidak menutup aurat seperti yang mereka lakukan setiap hari. Dengan peluang ini, mereka dapat bekerja dalam jagaan kesihatan," kata Cik Rohana.



Pendakwah setempat, Ustazah Shameem Sultanah, berkata warga Singapura boleh hidup bersama dalam kepelbagaian pakaian dan cara masing-masing dalam suasana harmoni.



"Mungkin ada jururawat yang sudah bersedia atau ada jururawat yang belum memakai tudung, ini bukan satu tekanan kepada sesiapa yang belum berhijab.



"Hijab bukan satu paksaan dan ia terpulang pada masing-masing. Dan masyarakat juga janganlah berikan tekanan kepada sesiapa yang belum bersedia untuk mengenakan tudung. Tugas kita adalah untuk menghormati keputusan masing-masing," ujarnya.



LAPORAN TAMBAHAN SHAHIDA SARHID



*Edisi awal artikel ini menyatakan Cik Rohana Ismail sebagai Setiausaha Agung Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan (HSEU). Beliau sebenarnya Setiausaha cawangan HSEU di Hospital Universiti Nasional (NUH). Kami mohon maaf atas kesilapan ini.



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >