Subuh
5:40
Syuruk
7:04
Zuhur
1:11
Asar
4:36
Maghrib
7:16
Isyak
8:30

Langkah kawalan sempadan SG berkesan, mampu kekang jangkitan: Pakar perubatan

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Setempat
27
0

SUSULAN KES IMPORT OMICRON DI SG

Langkah kawalan sempadan SG berkesan, mampu kekang jangkitan: Pakar perubatan

Dec 04, 2021 | 05:30 AM

MAKLUMAT berkaitan varian baru Covid-19, Omicron, masih belum mencukupi meskipun dengan hasil kajian awal yang telah dilakukan.

Meskipun dua kes jangkitan varian tersebut yang dikesan di Singapura mencetuskan kebimbangan di kala-ngan warga Singapura, ia sesuatu yang sudah dijangka.

Ini terutama sekali dengan pembukaan sempadan secara bertahap serta skim Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) yang diperkenalkan an-tara Singapura dan beberapa negara, menurut pakar perubatan yang dihubungi Berita Harian.

Keupayaan Singapura mengesan kes-kes jangkitan tersebut membuktikan langkah kawalan keselamatan di sempadan Singapura berkesan dan perlu diteruskan dalam usaha menghadkan rantaian jangkitan tersebut dalam masyarakat, tambah mereka.

Pengasas bersama klinik pakar di Pusat Perubatan Mount Elizabeth, Specialist Care Group, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, berkata dengan pergerakan manusia di sempadan serta lebih banyak interaksi yang dibenarkan, risiko jangkitan akan meningkat.

Pada masa yang sama, dalam menempuhi perkembangan baru pandemik ini, warga Singapura digesa tidak panik dan meneruskan amalan kebersihan dan menjaga kesihatan mereka dan keluarga.

"Kita perlu terus bertenang, kerana buat masa kini belum jelas sama ada Omicron meningkatkan risiko kematian atau komplikasi berbanding (varian) Delta.

"Individu dan keluarga perlu terus menjaga kesihatan dan kebersihan diri, kurangkan perhimpunan sosial jika boleh bagi tempoh beberapa minggu selepas ini hingga lebih banyak maklumat didedahkan tentang varian ini," kata Dr Abdul Razakjr.

Kewujudan varian baru tersebut juga bukan perkembangan yang mengejutkan, kata mereka, kerana Covid-19 merupakan organisme yang akan berubah untuk terus hidup.

Namun, varian baru ini membuatkan virus tersebut lebih sukar untuk dikesan dan lebih mudah berjangkit, kata Dr Abdul Razakjr.

"Kita perlu teruskan hidup seperti biasa seboleh mungkin, tapi dengan disiplin sosial dan sikap bertanggungjawab terhadap kesihatan kita dan orang lain di sekeliling," ujarnya.

Pemilik EHA Clinic, Dr Elias Tam, berkata keupayaan yang dipertingkat dari segi kawalan dan ujian membantu dalam pengesanan jenis virus baru dengan lebih pantas, namun, masa yang lebih lama diperlukan untuk memahami varian ini dengan lebih lanjut.

Namun, Dr Tam menambah, tiada masyarakat yang mampu hidup dalam 'lock down' selama-lamanya tanpa kesan buruk, untuk itu kehidupan perlu diteruskan.

Pada masa yang sama, meskipun dengan VTL yang memerlukan penumpang untuk menjalani pelbagai ujian, Dr Tam meminta agar orang ramai berfikir dua kali sebelum memutuskan untuk ke luar negara.

"Jangan ke luar negara kecuali betul-betul perlu, dan (apabila ke luar negara) anda perlu ingat anda mungkin dikuarantin dan dimasukkan ke hospital di negara asing.

"Untuk itu, perlu bersedia dan membuat persiapan, termasuk dari segi insurans dan kewangan anda," katanya.

Dr Tam turut menggesa orang ramai untuk kekal di Singapura kerana ia menawarkan banyak tempat untuk dikunjungi.

Meskipun tidak banyak yang diketahui tentang varian ini, individu perlu terus berjaga-jaga kerana masih terdapat kemungkinan ia menyebabkan penyakit yang lebih teruk, kata pakar penyakit berjangkit daripada Rophi Clinic, Dr Leong Hoe Nam.

Meskipun buat masa kini belum ada kes jangkitan Omicron yang dilaporkan dalam masyarakat, Dr Leong berkongsi kebimbangannya akan kewujudan virus itu yang tidak dapat dikesan.

"Masih ada kemungkinan situasi pandemik seluruh dunia akan bertambah teruk disebabkan varian ini dalam tempoh tiga bulan.

"Sementara kita menilai sama ada ia akan menyebabkan penyakit yang lebih teruk atau tidak, keadaan perlu kekal status quo.

"Tapi ini juga bermakna anda perlu mendapatkan suntikan ketiga vaksin jika diperlukan, dan yang belum menerima vaksin perlu mendapatkannya," kata Dr Leong.

- Laporan tambahan Nur Syuhrah Hassan


"Kita perlu terus bertenang, kerana buat masa kini belum jelas sama ada Omicron meningkatkan risiko kematian atau komplikasi berbanding (varian) Delta. Individu dan keluarga perlu terus menjaga kesihatan dan kebersihan diri, kurangkan perhimpunan sosial jika boleh bagi tempoh beberapa minggu selepas ini hingga lebih banyak maklumat didedahkan tentang varian ini."
– Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar.

"Jangan ke luar negara kecuali betul-betul perlu, dan (apabila ke luar negara) anda perlu ingat anda mungkin dikuarantin dan dimasukkan ke hospital di negara asing. Untuk itu, perlu bersedia dan membuat persiapan, termasuk dari segi insurans dan kewangan anda."
– Dr Elias Tham.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3