LANGKAH diperketat bagi penjualan semula flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada masa depan di lokasi utama, seperti tempoh penginapan minimum (MOP) 10 tahun yang lebih lama, dijangka mengurangkan permintaan dan melembapkan kenaikan harga jualan semula pada masa depan.
Demikian menurut Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, yang mengatasi keprihatinan bahawa penjual kali pertama flat ini boleh menaikkan harga unit mereka untuk mengambil kira subsidi yang perlu dibayar balik kepada HDB semasa menjual flat tersebut.
Pembayaran balik subsidi tambahan yang bertujuan memastikan flat Bina Ikut Tempahan (BTO) baru di kawasan utama kekal dimampui merupakan satu lagi ciri model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH) baru yang diumumkan Rabu lalu.
Semua subsidi akan diambil kira dalam harga flat apabila ia dilancarkan sebagai flat BTO.
Encik Lee berkata adalah sukar untuk meramalkan bagaimana harga sebenar akan berubah: “Ia bergantung kepada banyak faktor dan pertimbangan pasaran, sentimen pembeli dan sebagainya.”
Berucap di Forum Dasar Ekonomi Singapura 2021 pada Jumaat (29 Okt), beliau berkata pemerintah telah menerima “pelbagai maklum balas daripada semua pihak” sejak model baru itu didedahkan.
Antara perkara yang paling disoal adalah mengenai syarat kelayakan tambahan bagi pembeli flat jualan semula PLH, kata Encik Lee.
Syarat itu termasuk had pendapatan $14,000, yang sama bagi pemohon BTO.
Ada yang bertanya mengapa peraturan itu termasuk had pendapatan, memandangkan pemerintah bertujuan memastikan lokasi-lokasi utama bersifat inklusif.
Akur terhadap perkara ini yang kelihatan seperti satu paradoks, Encik Lee berkata: “Bukan niat kami mengecualikan sesiapa sahaja daripada lokasi utama ini”.
“Jika tanah dan sumber tidak menjadi keterbatasan, kita akan berusaha untuk menyediakannya untuk semua.”
Tetapi tanpa campur tangan, Encik Lee berkata, harga jualan semula mungkin akan meningkat melebihi kemampuan ramai warga Singapura, sekali gus menghalang mereka daripada mendapatkan flat di lokasi utama ini.
Oleh itu, sekatan yang ditentukur (calibrate) adalah penting bagi memastikan flat sedemikian boleh dibeli oleh kumpulan yang lebih luas, katanya.