VAKSINASI kekal sebagai salah satu cara terbaik bagi memastikan kita selamat.
Seberapa boleh, Singapura ingin melindungi seberapa ramai penduduknya secepat mungkin, apa lagi melihat lebih ramai kanak-kanak dijangkiti Covid-19.
Membuat pengamatan demikian di Facebook, Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, berkata melihat pada kepentingan vaksinasi dan situasi terkini di negara ini, pemerintah telah memperluas vaksinasi buat lebih banyak kelompok usia.
Jarak antara suntikan dos pertama dengan kedua juga dipanjangkan dari tiga hingga empat minggu kini kepada enam hingga lapan minggu, tambah Encik Lee.
Langkah-langkah ini akan membolehkan lebih ramai warga Singapura memperolehi suntikan dos pertama mereka dalam masa terdekat.
"Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian sedang menjejak keadaan ini secara rapi. Tidak kira jika anda sudah menjalani vaksinasi ataupun tidak, duduk di rumah seberapa kerap yang boleh bagi mengurangkan pendedahan pada koronavirus.
"Jika anda perlu keluar rumah, pastikan anda menggunakan pelitup dengan keberkesanan penurasan yang baik seperti yang diberikan Persatuan Rakyat atau Yayasan Temasek.
"Kekal bertenang dan berdaya tahan. Kita akan dapat mengharungi perkara ini dan mengatasi virus yang melanda," pesan Encik Lee.