Langkah sekatan hartanah dikekalkan beberapa waktu: Lawrence Wong

SEKATAN terhadap harta kediaman Singapura dijangka kekal buat beberapa waktu sedang ekonominya kekal stabil dan permintaan masih "amat berdaya tahan", kata Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong.

Langkah-langkah penyejukan "telah membantu mencapai mententeramkan pasaran hartanah," kata Encik Wong, yang juga Menteri Kewangan kedua.

Dalam satu temu bual dengan Televisyen Bloomberg, beliau berkata: "Jika anda melihat pasaran hari ini, permintaan kekal berdaya tahan."

Harga rumah privet Singapura jatuh 3 peratus pada 2016 - turun tiga tahun berturut-turut dengan pemerintah berpegang teguh terhadap langkah-langkah penyejukan.

Harga suku tahunan terus jatuh kali ke-13 dalam tempoh tiga bulan berakhir 31 Dis - paling lama sejak data pertama kali diterbitkan pada 1975. Namun, Encik Wong berkata urus niaga perumahan terus meningkat.

Tidak ada pelonggaran pada sekatan harta dalam Bajet yang dibentangkan Isnin (20 Feb).

Sebelum ini pemerintah telah membayangkan ia enggan meringankan sekatan harta, termasuk mengehadkan pembayaran balik hutang pada 60 peratus daripada pendapatan peminjam dan cukai setem yang lebih tinggi, kerana ia mahu mengelakkan pasaran menjadi terlalu panas lagi.

Sekatan terhadap harta kediaman Singapura tampak akan berlanjutan sekurang-kurangnya setahun lagi di tengah-tengah tanda pasaran perumahan di bandar ini adalah stabil, kata Ketua Pegawai Eksekutif CapitaLand, pemaju terbesar di Asia Tenggara, dalam satu temu bual awal bulan ini.