LEMBAGA Pelancongan Singapura (STB) akan memperkenalkan langkah tambahan untuk mengurangkan kesesakan di Chinatown dan meningkatkan penguatkuasaan langkah pengurusan selamat menjelang Tahun Baru Cina.
“STB sedang bekerjasama dengan Persatuan Perniagaan Chinatown dan agensi pemerintah yang relevan untuk memastikan kedai dan tempat makan tidak melanjutkan operasi mereka ke laluan pejalan kaki, yang boleh menyukarkan pengunjung untuk mengekalkan jarak selamat,” kata STB dalam satu kenyataan pada Sabtu (15 Jan).
Ini termasuk di kawasan yang dikunjungi ramai seperti sepanjang New Bridge Road, Pagoda Street dan Trengganu Street.
Lebih ramai Duta Jarak Selamat dan Pegawai Penguatkuasaan Jarak Selamat akan dikerah ke Chinatown bagi tiga hujung minggu 14-16 Januari, 21-23 Januari, dan 28-31 Januari menjelang Tahun Baru Lunar pada 1 Februari.
Langkah tambahan yang mungkin diambil untuk mengurangkan kesesakan termasuk menutup kemasukan pejalan kaki ke Pagoda Street dari New Bridge Road, mengehadkan kemasukan dari Pintu Keluar A MRT Chinatown di Pagoda Street, dan menutup Temple Street kepada trafik kenderaan.
“Kami menggalakkan orang awam untuk merancang lawatan mereka ke Chinatown lebih awal dan mengunjunginya semasa waktu kurang sibuk,” kata STB.