MESKIPUN banyak syarikat dan majikan kini dapat membuat penyesuaian demi mengharungi cabaran ekonomi yang berubah disebabkan pandemik Covid-19, kos pekerja tetap menjadi antara tekanan utama yang dihadapi.
Justeru, sokongan pemerintah dalam bentuk Skim Bantuan Pekerja (JSS) yang dilanjut melalui Belanjawan tahun ini dapat membantu majikan mengekalkan pekerja dan pada masa yang sama mengawal kos operasi serta memperbaharui model perniagaan mereka.
Langkah pemerintah melanjutkan JSS sehingga enam bulan lagi demi membantu perniagaan yang terjejas teruk dengan pandemik Covid-19 disambut dengan tangan terbuka oleh majikan yang dihubungi Berita Harian.
Di bawah skim itu, bantuan bagi sektor dalam Tahap 1 atau yang paling terjejas dalam krisis kesihatan ini seperti penerbangan dan pelancongan, akan dilanjutkan untuk enam bulan lagi dengan firma menerima sokongan 30 peratus bagi gaji yang dibayar dari April hingga Jun ini dan 10 peratus bagi gaji yang dibayar dari Julai hingga September ini.
Menyambut baik langkah tersebut, Pengarah agensi pelancongan Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, JSS yang dilanjutkan itu memberi peluang untuk mengukuhkan semula keadaan kewangan syarikatnya.
Disebabkan tumpuan utama agensinya sebelum ini adalah dalam menganjurkan rombongan Haji dan Umrah, Ustazah Juyda akui perlu mencari alternatif untuk memastikan syarikatnya dapat bertahan.
"Dengan sektor pelancongan yang masih belum bertambah baik, kami perlu mencari alternatif untuk bertahan.
"Sekurang-kurangnya dengan bantuan JSS yang dilanjutkan ini, kami dapat bernafas sedikit dan mengukuhkan semula keadaan kewangan syarikat," katanya dalam proses meneroka khidmat penghantaran untuk memperluas khidmat yang ditawarkan syarikatnya.
Sementara itu, firma dalam sektor Tahap 2 seperti runcit, khidmat makanan dan seni dan budaya pula akan menerima sokongan gaji 10 peratus untuk tiga bulan lagi.
Ketua pegawai operasi rangkaian kafe Blackhole Group yang memiliki beberapa kafe seperti Afterwit dan Tipo, Encik Sufi Hassan berkata walaupun bantuan yang diberikan kali ini kurang berbanding sebelumnya, ia dapat membantu perniagaan terus berupaya menyesuaikan diri untuk menghadapi keadaan krisis kesihatan ini.
"Dari mula lagi, skim JSS membantu kita memastikan perniagaan dapat bertahan dan yang paling penting memberi ruang kepada majikan untuk sesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang berubah.
"Bantuan seperti ini juga menggalak syarikat supaya terus berfikir secara inovatif dan bergantung terhadap diri sendiri," katanya.
Menurut Encik Sufi, cabaran yang dihadapi beliau dan rakan kongsi Blackhole Group semasa tempoh pandemik ini membantu mereka bertindak dengan pantas serta memikirkan strategi yang dapat memajukan perniagaan.
Pengasas dan Pengarah Urusan bagi Tenderfresh Group, Encik Jimmy Soh berkata kesan pandemik terhadap perniagaan yang sudah bermula sejak 1979 memang hebat namun tindakan pemerintah yang telah memperkenalkan langkah-langkah untuk membantu perniagaan dengan pantas dapat mengurangkan kesan negatif.
Namun, majikan tidak semestinya hanya bergantung kepada bantuan pemerintah tanpa tindakan atau respons sewajarnya yang dapat mengubah atau menyesuaikan model perniagaan mereka supaya lebih berdaya tahan.
"Memang sokongan gaji yang bakal diterima hanya 10 peratus kali ini, tapi pasukan kami sedar bahawa kita tak boleh menjangkakan bantuan terus diberikan begitu sahaja.
"Untuk itu, dalam tempoh beberapa bulan ini kami menumpukan terhadap usaha meningkatkan kemahiran pekerja melalui latihan dan memperkenalkan lebih banyak perkakas yang dapat mempertingkat produktiviti demi membantu cawangan restoran kami," katanya.
Sementara itu, pemilik syarikat mencantikkan kereta Gecko Wash, Encik Wayne Abdullah berkata sokongan JSS merupakan 'talian hayat' terutama sekali bagi syarikat dengan pendapatan yang terjejas semasa tempoh mencabar ini.
"Usaha untuk mengekalkan pekerja memang penting dalam situasi sekarang ini kerana apabila ekonomi bertambah pulih, syarikat dapat turut beransur pulih dengan lebih pantas," katanya.
Sebelum ini, JSS diperkenalkan dalam Belanjawan Februari tahun lalu dengan subsidi gaji pekerja antara 25 hingga 75 peratus yang dibayar selama 10 bulan.
"Dari mula lagi, skim JSS membantu kita memastikan perniagaan dapat bertahan dan yang paling penting memberi ruang kepada majikan untuk sesuaikan diri dengan keadaan ekonomi yang berubah."
- Ketua pegawai operasi rangkaian kafe Blackhole Group, Encik Sufi Hassan