LANUN bersenjata telah menyerang tiga kapal di Selat Singapura antara malam Ahad dengan Isnin pagi (8-9 Nov).
Kejadian-kejadian tersebut berlaku selang enam jam pada tiga kapal yang berdekatan satu sama lain.
Namun, Pusat Perkongsian Maklumat Bagi Menangani Lanun dan Rompakan Bersenjata (ReCAPP) berkata kejadian serupa mungkin berlaku lagi kerana tiada pelaku yang berjaya ditangkap.
ReCAAP berkata lanun-lanun tersebut tidak menyerang anak kapal dalam ketiga-tiga kejadian tersebut dan tiada anak kapal yang cedera.
Pun begitu, peralatan kapal telah dicuri dari salah satu kapal dan pelampung telah dicuri dari satu lagi kapal.
Tiada peralatan dicuri dari kapal ketiga.
Kejadian terbaru itu merupakan yang ke-31 tahun ini, berbanding jumlah sama bagi keseluruhan tahun lalu, menurut The Straits Times.