Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Lapan badan sebumbung, sehaluan dekati penduduk

Dec 17, 2018 | 05:30 AM



TERLETAK di tingkat tiga Wisma Geylang Serai (WGS), sebuah hab yang menggabungkan lapan badan Melayu setempat kini telah membuka pintunya untuk menghulurkan pertolongan, sokongan mahupun nasihat kepada penduduk setempat.



Ini termasuk mendapatkan biasiswa, bantuan kebajikan, nasihat keagamaan mahupun program berhubung seni dan media - semuanya di bawah satu bumbung.



Sejauh ini lebih 50 penduduk telah tampil ke hab tersebut untuk mendapatkan pelbagai khidmat yang ditawarkan.



Dikenali sebagai Khidmat untuk rakyat nadi inspirasi aspirasi (Kurnia@WGS), hab itu juga mendekatkan wakil badan-badan Melayu/Islam dan memberi peluang mereka berganding bahu antara satu sama lain demi mencari huraian bagi isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat.



Badan-badan yang terdapat di hab itu ialah Angkatan Karyawan Islam (AMP), Berita Harian, Creative Malay Arts & Culture (CMAC), Muhammadiyah, Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Islam Singapura (Pergas), Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM), Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan Tabung Amal Aidilfitri (TAA).



Ini merupakan kali pertama beberapa institusi Melayu/Islam utama ditempatkan di bawah satu bumbung.



Semasa merasmikan pembukaan hab itu baru-baru ini Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, berharap agar badan-badan Melayu/Is- lam dapat memanfaatkan peluang yang diberikan itu untuk mewujudkan semangat gotong-royong ke arah manfaat masyarakat.



"Geylang Serai semakin berubah menjadi semakin moden, masyarakat boleh rasakan perubahan yang begitu ketara.



"Walaupun kita tak dapat mewujudkan semula suasana kampung, kita boleh mewujudkan satu semangat gotong-royong untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat," kata Encik Masagos yang juga Menteri Bertanggungjawab Bagi Ehwal Masyarakat Islam.



Beliau menambah para petugas badan Melayu/Islam hab Kurnia tidak lagi terpisah oleh jarak yang jauh, sebaliknya mereka kini hanya dipisahkan tembok rendah yang membahagikan ruang kerja badan-badan tersebut.



"Oleh itu sering-seringlah jengah satu sama lain, pergi minum kopi bersama-sama dan berbual dan dalam berbual (anda) mungkin dapat mewujudkan gabungan sinergi yang mungkin tidak terfikir sebelum ini," kata beliau.



Encik Masagos menambah: "Tumpuan kita satu - bagaimana kita tingkatkan taraf kehidupan masyarakat kita bukan hanya dengan cara memberi mereka ikan sebagai makanan harian, tetapi mengajar mereka memancing ikan... mungkin bukan hanya tangkap ikan, malah boleh jual ikan."



Di hab tersebut, badan-badan itu boleh berkongsi sumber seperti ruang menyambut tamu, bilik perbincangan dan bilik mesyuarat. Terdapat juga ruang pantri di mana petugas boleh duduk berbincang sambil minum kopi.



MANFAAT UNTUK MASYARAKAT



Kurnia@WGS membuka peluang bagi masyarakat, khususnya yang berada di kawasan Geylang Serai, mendapatkan bantuan kebajikan seperti permohonan dermasiswa, bantuan kewangan, geran pendidikan mahupun bengkel kemahiran.



Turut dirancang ialah program seni dan media.



Menerangkan lebih lanjut, Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, berkata anggota masyarakat kini mempunyai kemudahan bersepadu untuk mendapatkan bantuan, sokongan atau nasihat.



"Kami sering terima maklum balas tentang penduduk yang kurang tahu ke mana mereka boleh pergi untuk mendapatkan pertolongan. Kami berharap Kurnia boleh menjadi pusat sehenti bagi masyarakat, khususnya mereka yang berada di kawasan Geylang Serai, mendapatkan pertolongan," kata beliau, yang ditugaskan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk melestarikan WGS.



Sebagai contoh, anggota masyarakat yang mahu mendapatkan nasihat berhubung perkahwinan atau isu belia boleh ke WGS dan bertemu pegawai AMP atau 4PM yang bertugas di sana.



Pengarah Eksekutif, AMP Encik Anuar Yusop, memerhatikan bahawa kawasan Geylang Serai, selain menjadi lokasi tumpuan bagi masyarakat Melayu/Islam, juga merupakan pusat tumpuan bagi kegiatan budaya dan ekonomi.



"Kami menjangkakan jumlah kunjungan yang baik ke Wisma Geylang Serai oleh masyarakat dan begitu juga ke Kurnia.



"Kepelbagaian khidmat yang disediakan lapan badan Melayu/Islam akan tentu memberi manfaat kepada masyarakat," kata Encik Anuar.



"Satu lagi sebab kami adakan ruang ini adalah memberi peluang badan-badan meneroka kerjasama, berkongsi maklumat dan mungkin kelak mencetus idea demi manfaat masyarakat" kata beliau.



Wakil Berita Harian juga terdapat di WGS.



Editor Berita Harian/Berita Minggu, Encik Mohd Saat Abdul Rahman, berkata kehadiran pihaknya di WGS bertujuan mendekatkan lagi akhbar itu kepada masyarakat.



Presiden Persatuan Muhammadiyah, Ustaz Shaik Hussain Shaik Yacob, turut melahirkan rasa gembira diberi peluang menempatkan wakilnya di WGS.



Inisiatif Kurnia@WGS adalah mewujudkan satu wadah untuk masyarakat Melayu/Islam berkumpul dan memanfaatkan khidmat yang disediakan oleh badan-badan bantu diri Melayu/Islam di Singapura, katanya.



"Dengan adanya Kurnia@WGS, masya- rakat boleh mengenali dengan lebih mendalam usaha-usaha yang dijalankan oleh institusi-institusi Muhammadiyah seperti Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).



"Pada masa yang sama, pegawai Muhammadiyah akan menghubungkan masyarakat dengan institusi yang menawarkan khidmat dan sokongan yang relevan dengan keperluan mereka," kata Ustaz Shaik Hussain



Contohnya, mereka yang inginkan khidmat pendidikan akan dihubungkan dengan Kolej Islam Muhammadiyah (KIM), Tadika Muhammadiyah dan Pengajian di Estet Perumahan (PEP).



Manakala untuk khidmat yang berkaitan dengan penjagaan warga emas, masyarakat akan dihubungkan dengan Pusat Penjagaan Siang Hari Muhammadiyah (MHCC).



"Ditambah pula dengan prasarana yang sedia ada di Wisma Geylang Serai seperti dewan serbaguna dan bilik-bilik kaunseling, masyarakat tidak perlu bersusah payah kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat dan bantuan di bawah satu bumbung," ujar Ustaz Shaik Hussain.



INSTITUSI M3 AKAN TURUT TAMPIL KELAK



Dalam fasa selanjutnya institusi M3 - Muis, Mendaki dan Mesra - akan turut menempatkan wakil di WGS.



Dr Maliki berharap langkah itu dapat menjadikan WGS sebagai nadi masyarakat Melayu/Islam meraih inspirasi dan mencapai aspirasi mereka.




SEKILAS KHIDMAT DI KURNIA@WGS



KEBAJIKAN SOSIAL



Angkatan Karyawan Islam (AMP)

Persatuan Persuratan Pemuda Pemudi Melayu (4PM)



  • Kaunseling dan nasihat dalam soal perkahwinan, kewangan atau isu belia.

  • Bayar yuran bagi program kendalian AMP, 4PM

  • Sumbang derma

Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM)



  • Bantuan permohonan dermasiswa, biasiswa serta nasihat tentang bantuan kewangan bagi pendidikan

Persatuan Muhammadiyah



  • Pusat maklumat bagi masyarakat Melayu/Islam

Persatuan Ulama dan Guru-Guru Agama Singapura (Pergas)



  • Skim titipan pelajar madrasah

  • Program Siswazah

  • Bantuan Kewangan Asatizah

  • Program Keanggotaan Pergas

  • Pendidikan Islam

  • Nasihat Kewangan Syariah

Tabung Amal Aidilfitri



  • Projek Gerak Masyarakat

MEDIA DAN SENI



Berita Harian



  • Bengkel kewartawanan

  • Program pendekatan

Creative Malay Arts & Culture



  • Program budaya dan seni Melayu




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >