LAPAN syarikat permulaan (start-up) teknologi baru telah dipilih menyertai program pemecut kedua Plug & Play Singapore Press Holdings (SPH).
Kumpulan kedua itu dipilih daripada lebih 320 permohonan yang diterima dari 10 negara, termasuk Hong Kong, Malaysia, India dan Vietnem, selain Singapura sepanjang tempoh lima minggu dari Januari hingga Februari lalu.
Lapan syarikat permulaan yang diumum Jumaat (1 April) lalu itu ialah: Ad+ Platform, Fixir, GOtixs, Intheloop, Makerscut, Refash, Reserv, dan Wondertech.
Ia termasuk sebuah aplikasi yang menghubungkan pemandu kereta dengan bengkel yang boleh diyakini, platform pemasaran berdasarkan kecerdasan buatan, dan platform derma awam (crowdfunding) bagi pereka produk.
Ketua Plug and Play SPH, Encik Rudy Lim, berkata: "Kami sangat teruja dengan sambutan terhadap undangan kami kepada pemohon dan kumpulan kedua syarikat permulaan kami. Mereka menawarkan inovasi menarik yang berada di barisan depan dalam menangani pelbagai cabaran yang dihadapi industri media yang semakin terserpih.
Plug and Play ialah usaha sama antara SPH, pemecut global Plug and Play, yang berpangkalan di Silicon Valley, dan Infocomm Investments (IIPL), anak syarikat modal teroka Penguasa Pembangunan Infokom (IDA).
Ditubuhkan tahun lalu, program itu disokong oleh rangkaian serta pengetahuan industri dan sumber gabungan tiga rakan itu
Ia bertujuan membantu syarikat permulaan dengan idea teknologi inovatif yang boleh mengubah dan merevolusikan industri media.
Setiap syarikat yang berjaya memulakan perniagaan layak mendapat pembiayaan awal sebanyak $30,000 serta faedah dan perkhidmatan seperti pengehosan awan, dan sokongan analisis serta video bernilai sehingga $200,000.
Mereka juga akan menerima pembiayaan ruang pejabat selama tiga bulan di BASH (79 Ayer Rajah Crescent).
Lebih banyak maklumat mengenai program Plug and Play SPH boleh didapatkan di www.sphplugandplay.com atau www.facebook.com/SPHxPnP.