KESEDIAAN pertahanan Singapura amat penting, tidak kira sama ada dalam situasi pandemik ataupun tidak.
Oleh itu, adalah wajar bagi latihan ketenteraan diteruskan sedang negara terus menentang wabak Covid-19.
Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad, berkata Singapura harus menjaga kesediaan operasi supaya latihan dan kesediaan kita tidak terjejas oleh Covid-19.
Namun, langkah-langkah keselamatan masih perlu dikuatkuasa dan dititikberatkan, jelas beliau setelah melawat Pusat Latihan Tentera Asas (BMTC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) pada Khamis pagi (1 Oktober).
“Di sini kita melakarkan pelbagai peraturan dan kaedah supaya kita dapat memastikan tentera-tentera kita berlatih dalam keadaan selamat dan sihat, dan ini ialah keutamaan kita supaya tidak terjadi sebarang penularan wabak,” ujarnya.
Kementerian Pertahanan (Mindef) berkata latihan ketenteraan akan meningkat secara progresif dalam beberapa bulan mendatang, dengan adanya langkah-langkah keselamatan Covid-19.
Ini termasuk memastikan pengambilan suhu badan dua kali setiap hari, meningkatkan amalan kebersihan dan memisahkan rekrut kepada beberapa kumpulan lebih kecil.
Rekrut atau pelatih yang menunjukkan sebarang tanda jangkitan pernafasan akut juga akan diasingkan dan diuji bagi Covid-19.